821) UTUSAN MALAYSIA 120713-Berbanggalah menjadi Melayu
12 Jul 2013
TIDAK sudah-sudah
Melayu cuba diperlekehkan. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada
beberapa rentetan peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah negara ini.
Kita sudah pasti
masih ingat bagaimana bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Lee Kim Sai (sekarang
Tan Sri) pada 1986 secara terbuka mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan
dasar-dasar yang dikaitkan dengan ketuanan Melayu.
Konfrontasi secara
terbuka dibuat bagi memulihkan imej MCA ekoran Pilihan Raya Umum 1986 yang
menyaksikan kemerosotan pengaruh parti itu yang teruk di kalangan pengundi
Cina.
Kemuncaknya pada
November 1986, yang menyaksikan konvensyen MCA Selangor yang dipengerusikan
oleh Kim Sai telah membuat ketetapan mencabar hakikat kedudukan orang Melayu
sebagai penduduk asal negara.
MCA mengisytiharkan
bahawa semua kaum utama di Malaysia iaitu orang Melayu, India dan Cina adalah
terdiri daripada orang pendatang. Sehubungan itu, orang Melayu tidak boleh
dianggap sebagai tuan di negara ini.
Ketetapan itu
menimbulkan kemarahan orang Melayu dan ketegangan antara kedua-dua kaum hanya
dapat diselesaikan selepas Kabinet mengeluarkan kenyataan yang menegaskan
bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain ialah penduduk asal Malaysia.
Manakala penduduk
Cina dan India sudah diterima sebagai warganegara Malaysia dan oleh itu, tidak
boleh dianggap sebagai pendatang asing atau pendatang haram dan mereka mendapat
layanan yang sama seperti warganegara lain.
Satu lagi
kontroversi tercetus pada 2004 dengan penerbitan buku bertajuk Contesting
Malayness: Malay Identity Across Boundaries oleh National University of
Singapore (NUS).
Buku susunan
Profesor Madya di Jabatan Sejarah NUS, Timothy P. Barnard mendakwa orang Melayu
tiada asas untuk menjadi kaum yang nyata kerana ia adalah campuran daripada
kaum-kaum lain khususnya dari selatan China dan India.
Ekoran itu, buku
berkenaan mencadangkan kaum Cina dan India di Malaysia diberikan taraf
bumiputera kerana orang Melayu sebenarnya berasal daripada salasilah kedua-dua
kaum itu.
Fakta-fakta
meragukan dalam buku itu turut dimuatkan dalam blog dan Facebook yang
kemudiannya digunakan beberapa pihak bagi memperlekehkan orang Melayu termasuk
mengelar mereka sebagai pendatang.
Bagi memastikan
orang Melayu tidak lagi diperlekehkan, satu kajian ilmiah telah dibuat oleh
penulis dan penyelidik sejarah, Zaharah Sulaiman dan Allahyarham Profesor
Emeritus Datuk Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dari Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM).
Nik Anuar adalah
salah seorang sejarawan yang secara serius berusaha menulis kembali sejarah
negara dan kaum Melayu daripada perspektif anak tempatan.
Kajian itu
mengesahkan bahawa orang Melayu adalah kaum asal di rantau Nusantara ini dan
bukannya golongan pendatang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Bukti menerusi
pemetaan genetik dan artifak arkeologi mendapati masyarakat Orang Asli Semang
dan Senoi yang mendiami Benua Sunda (Asia Tenggara) merupakan nenek moyang
kepada populasi Melayu Proto (Melayu asli) dan kaum Melayu hari ini.
Masyarakat Semang
dan Senoi ini berasal daripada manusia asal di Afrika yang berhijrah ke Benua
Sunda sejak 65,000 tahun dahulu.
Zaharah ketika
Wacana Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya
anjuran Kelab Wartawan Muda Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata,
kajian ilmiah yang dilaksanakan mereka sejak 2009 telah siap.
“Ia akan
diterbitkan dalam bentuk jilid-jilid buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
secara berperingkat-peringkat untuk tatapan umum.
“Buku ini akan
mendedahkan segala-galanya dan saya berharap mereka yang mempertikaikan asal
usul Melayu dapat membacanya secara terbuka kerana kajian ini adalah
bersandarkan kepada bukti-bukti genetik dan arkeologi,” katanya.
Ditanya pendirian
orang Jawa dan suku kaum di Sabah dan Sarawak yang tidak mengakui sebagai orang
Melayu, beliau berkata, pemetaan genetik yang telah dibuat mendapati nenek
moyang mereka adalah Semang dan Senoi, sekali gus membuktikan mereka kaum
Melayu.
“Ada pihak yang
mengaitkan orang Melayu berasal dari India dan China ekoran pengaruh
Hindu-Buddha yang datang ke Nusantara yang telah diterima oleh alam Melayu.
“Pendapat ini
adalah tidak benar kerana jika kita melihat seni bina Angkor Wat di Kemboja dan
Borobudor di Indonesia, ia sangat berlainan dengan reka bentuk kuil dan tokong
di China dan India.
“Ini
menunjukkan tamadun Melayu telah wujud lebih awal, malah bahasa Melayu telah
lama menggunakan perkataan Sanskrit seperti mukadimah, syurga dan negara
sebelum kedatangan pengaruh India,” katanya.
Kajian itu adalah
selari dengan satu lagi penemuan data arkeologi yang diperoleh di Semenanjung
Malaysia dan Sarawak oleh penyelidik dari UKM pada 2010 yang menunjukkan rumpun
Melayu adalah penduduk asal bumi Malaysia sejak lebih daripada 40,000 tahun
lalu dan bukan berhijrah ke mari dari tanah besar di utara.
Artifak-artifak
seperti seramik yang ditemui di lebih 100 kawasan ekskavasi yang dijalankan
oleh ahli-ahli arkeologi UKM menunjukkan bahawa artifak itu adalah berbentuk
tempatan dan bukan dibawa masuk dari luar.
Walaupun bukti telah
dikemukakan, sudah pasti akan ada pihak yang akan terus mempertikaikannya
semata-mata kerana kajian itu tidak berpihak kepada mereka.
Kita sudah pasti
tidak boleh berbuat apa-apa bagi mengubah pemikiran golongan ini, tetapi kita
masih boleh mengambil inisiatif merombak kurikulum sejarah di sekolah bagi
memastikan generasi muda didedahkan dengan fakta sebenar.
Satu lagi yang boleh
dibuat adalah untuk tidak terlalu mengagung-agungkan peninggalan penjajah
sehingga melupakan sejarah dan warisan Melayu.
Di Melaka misalnya,
kenapa hanya terdapat replika kapal Portugis, Flor de La Mar yang dijadikan
muzium maritim?
Mana dia kapal milik
pedagang dan sultan-sultan Melayu pada zaman dahulu seperti ‘Geliung Johor’ dan
‘Mendam Berahi’ yang saiznya berpuluh kali ganda lebih besar dan menggunakan
teknologi lebih canggih berbanding kapal China dan Eropah?
Jika kita sendiri
masih tidak menghormati sejarah dan warisan Melayu, janganlah mengharapkan kaum
lain akan menghormati kita.
SUMBER:Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130711/re_05/Berbanggalah-menjadi-Melayu#ixzz2YoQjNPqR © Utusan Melayu (M)
Bhd
Post Views: 168