815) BERNAMA ONLINE 11 JULAI 20133-Perbelanjaan Berhemah Elak Risiko Berhutang
11 Jul 2013
Oleh Nur Aimidiyana Zuher KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) —
Kegagalan individu merancang perbelanjaan secara berhemah terutama yang
melibatkan penggunaan kad kredit boleh mengheret mereka kepada risiko bebanan
hutang yang tinggi termasuk menjadi muflis, demikian menurut seorang perunding
kewangan. Perunding Kanan Kewangan Hijrah Wealth Management Zulsaidi Redzwan
berkata setiap perbelanjaan yang dikeluarkan perlu ditentukan mengikut
kemampuan individu serta tidak memberi bebanan hutang kepada mereka.
Merujuk kepada laporan media baru-baru ini, 23 peratus
daripada 90,807 peminjam yang dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (DMP)
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi tempoh 2007 hingga 31 Mei
lepas, merupakan golongan yang memiliki perancangan kewangan yang lemah. Kenapa
tidak dapat mengawal perbelanjaan? Apakah barangan yang dibeli itu satu
keperluan atau kehendak? Zulsaidi berkata tanpa membuat senarai perbelanjaan,
seseorang individu akan mudah terjebak dengan penggunaan kad kredit secara
berlebihan dan membuat pinjaman kewangan semata-mata untuk memuaskan keinginan
serta kehendak peribadi.
“Rata-rata individu hari ini berbelanja mengikut nafsu
terutama golongan bekerja makan gaji yang berasa selamat dan selesa kerana
setiap bulan mereka akan memperoleh gaji bulanan. “Paling membimbangkan
apabila seseorang itu memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana mereka
mudah terdorong untuk membeli barangan mewah dan berjenama,” katanya
kepada Bernama. Zulsaidi berkata punca lain keberhutangan ialah kos perubatan
yang tinggi dan kehilangan pekerjaan. Apakah langkah pengurusan perbelanjaan
berhemah? Beliau mengesyorkan agar setiap individu menggunakan sistem sampul
yang dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan kewangan secara lebih
konsisten.
“Sistem sampul ini bertujuan membantu mengasingkan duit
gaji yang ingin dibelanjakan mengikut bahagian perbelanjaan seperti
membeli-belah, melancong, berhibur atau ketika dalam situasi kecemasan.
“Cukup atau tidak cukup itu sahaja yang boleh dibelanjakan. Jika ada
lebihan daripada gaji itu kita boleh jadikan simpanan,” katanya.
Mengenai kadar hutang isi rumah di negara ini, Zulsaidi
berkata Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal namun kerajaan perlu
memantau agar isu ini tidak menjadi serius. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata semua pihak perlu memainkan
peranan penting termasuk institusi keluarga bagi mendidik masyarakat merancang
perbelanjaan berhemah. “Meskipun wujud pusat rujukan seperti AKPK,
penglibatan sektor swasta perlu diperluaskan bagi membantu menyelesaikan
masalah ini.
“Saya harap kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO)
dapat menyediakan platform khusus seperti bimbingan dan nasihat kepada
masyarakat berhubung kepentingan menguruskan perbelanjaan,” katanya.
Nadzim berkata bimbingan itu tidak hanya memfokuskan kepada
individu yang menghadapi masalah bebanan hutang sebaliknya boleh disertai
mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan
secara bijak.
Sementara itu, Pegawai Pengurus Kad Kredit Suryamarlini Md
Hazair berkata individu berusia 18 tahun dan mempunyai pendapatan tetap RM1,500
ke atas layak membuat pemohonan kad kredit namun bergantung kepada prosedur
institusi kewangan berkenaan.
Katanya kebanyakan pemohon kad kredit tidak memahami syarat
dan prosedur institusi kewangan, malah ramai antara mereka yang merungut,
apabila caj lebih dikenakan akibat lewat membuat bayaran kad kredit.
“Jika kita hanya membayar pada bayaran minimum bil kad
kredit menyebabkan hutang akan bertambah banyak sedangkan jumlah kad yang digunakan
sudah melebihi daripada jumlah pinjaman dibenarkan,” kata Suryamarlini
yang bertugas di sebuah institusi kewangan swasta di ibu negara. Suryamarlini
berkata tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu ingin memohon kad kredit
namun pengguna mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan merancang perbelanjaan
sebelum menggunakannya bagi mengelak bebanan hutang yang tinggi. — BERNAMA
Post Views: 178