Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
811) BERITA HARIAN METRO 8/7/13-Syarat lucut tudung nafi hak beragama
10 Jul 2013

PENDEDAHAN Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIPM) sesetengah syarikat di ibu negara mengamalkan
diskriminasi terhadap wanita Islam apabila mensyaratkan mereka yang ingin
bekerja membuka tudung dan memakai skirt cukup mengejutkan, malah boleh
disifatkan sebagai satu tindakan yang melampau.
Menurut Ketua
Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, pihaknya menerima aduan mengenai masalah ini
hampir setiap bulan dan lebih mengecewakan apabila ada syarikat yang terus
mengamalkan dasar berkenaan walaupun selepas diberi teguran.
Kita tidak jangka
hari ini masih ada majikan mahupun syarikat yang mengamalkan diskriminasi
terhadap wanita Islam. Justeru, sebagai menghormati hak kebebasan beragama
serta hak setiap warga, pihak terbabit perlu memohon maaf secara terbuka bukan
saja kepada individu berkenaan tetapi kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Hal ini penting demi
menjaga sensitiviti rukun hidup masyarakat majmuk di negara kita. Tambahan pula
syarat berkenaan juga langsung tidak masuk akal kerana menutup aurat bukan
faktor produktiviti pekerja. Apa yang pasti dasar seperti ini menyinggung dan
mengguris perasaan umat Islam.
Ternyata dasar itu
secara terbuka bertentangan dengan Perlembagaan negara yang menetapkan bahawa
setiap individu mempunyai hak menyatakan dan mengamalkan agama masing-masing
serta menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Beberapa rangkaian
kedai foto, gedung beli-belah serta kolej swasta disenaraikan antara syarikat
mahupun majikan yang mengamalkan dasar diskriminasi terhadap wanita Islam seperti
ini.
Hakikatnya desakan
hidup serta kesukaran untuk memperoleh pekerjaan menyebabkan sesetengah wanita
Islam terpaksa menggadai akidah dan pegangan apabila bersetuju dengan syarat
sebegitu dengan menanggalkan tudung waktu kerja dan memakainya semula selepas
habis bekerja.
Sebelum ini negara
juga dikejutkan dengan hasil kajian sebuah universiti awam baru-baru ini yang
mendedahkan betapa wujudnya diskriminasi terhadap graduan Melayu yang memohon
pekerjaan di syarikat swasta yang majoriti dimiliki kaum Cina dan asing.
Secara ringkasnya,
kajian selama enam bulan itu mendapati, faktor kaum lebih diutamakan berbanding
kualiti pendidikan dengan graduan kaum Cina menjadi pilihan untuk dipanggil
temu duga berbanding Melayu.
Buktinya, daripada
lebih 3,000 resume yang dihantar kepada syarikat terbabit, kaum Melayu hanya
mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga berbanding
22.1 peratus peluang dimiliki graduan kaum Cina.
Ironinya pendedahan
demi pendedahan seperti ini memperlihatkan betapa tahap perpaduan dan penyatuan
nasional berada pada keadaan yang cukup merisaukan. Dan sekali lagi dalam isu
seperti ini penguatkuasaan undang-undang terhadap majikan yang degil ini
dilihat belum mantap dan perlu diteliti secara serius.
Diskriminasi dan
penindasan secara halus ini membuktikan adanya usaha untuk menafikan hak
sesuatu kaum yang bakal mengundang pelbagai konflik perkauman jika dibiarkan
terus berlarutan.
Kedudukan agama
Islam misalnya cukup jelas dalam Perlembagaan yang diiktiraf sebagai agama
rasmi Persekutuan. Maka tindakan segelintir majikan yang meletak syarat membuka
tudung dan memakai skirt jelas bertentangan dengan undang-undang tertinggi
negara.
Ini menunjukkan
penghayatan dan pemahaman terhadap kandungan dan keperluan untuk menjunjung
Perlembagaan dan undang-undang negara sangat lemah dalam kalangan segelintir
rakyat negara ini. Begitu juga halnya dengan diskriminasi terhadap graduan
Melayu yang bakal mencetuskan polemik berpanjangan.
Pihak kerajaan yang
sedang merangka pelan penyatuan nasional perlu mengambil kira isu seperti ini
secara serius. Justeru, langkah pembetulan serta pencegahan yang sewajarnya
perlu diambil dengan segera agar perkara sebegini dapat ditangani secara
berhemah secepat mungkin.
Jika dibiarkan
berleluasa, dikhuatiri akan menimbulkan rasa tidak puas hati serta meniup api
kemarahan dalam diri rakyat yang rasa diri mereka ditindas ataupun menjadi
mangsa diskriminasi.
Ringkasnya
hormatilah hak setiap warga kerana itulah formula kejayaan kita selama ini.
Hayatilah kontrak sosial serta Perlembagaan yang menjadi panduan hidup
masyarakat majmuk di negara kita.
Penulis Ketua
Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM