Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENSTRUKTURAN SEMULA YAKEB MAMPU JANA DANA, JAMIN ATLET – UTUSAN MALAYSIA – 18/8/18
18 Aug 2018

UTUSAN ( yakeb ) 18.8.18

KUALALUMPUR 17 Ogos-Kementerian Belia dan Sukan diminta mengambil langkah drastik melakukan penstrukturan semula pengurusan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Bekas atlet kebangsaan, Zulkifli Mohd. Yatim berkata, langkah itu perlu diambil berikutan kegagalan Yakeb menjana dana tabung yayasan tersebut, selain berlaku kepincangan pengurusan di peringkat atasan.

“Kita mahu Yakeb diterajui individu berkelayakan dan mampu menjana dana yang amat diperlukan yayasan ini, sekali gus memastikan kebajikan semua atlet terjamin selepas mereka bersara.

“Kementerian memberi peruntukan apabila mengetahui masalah kekurangan dana yang dihadapi Yakeb tetapi masalah utama yayasan ini adalah pihak pengurusan tidak telus,” katanya dalam sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Zulkifli yang pernah mewakili negara dalam acara lari 110 meter berpagar olahraga berkata, terdapat 2,400 atlet berdaftar dengan Yakeb dan ada antara mereka memerlukan bantuan daripada yayasan tersebut.

Katanya, peranan Yakeb bukan sahaja menjaga kebajikan ahli mereka, namun turut mencakupi nasib bekas atlet yang tidak berdaftar dengan yayasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu memastikan sebarang isu berkenaan kebajikan bekas atlet negara diselesaikan dengan kadar segera.

Katanya, langkah itu bagi memastikan nasib atlet yang pernah mengharumkan nama negara tidak terabai, selain memberi semangat kepada atlet baharu mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

“PPIM ada menerima aduan daripada atlet berkenaan bantuan yang diberikan Yakeb kepada mereka tidak seperti dimohon. Perkara terpenting adalah bantuan perubatan dan Yakeb perlu memastikan masalah ini diatasi segera,” katanya.

 

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

PENSTRUKTURAN SEMULA YAKEB MAMPU JANA DANA, JAMIN ATLET