KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) tidak memberi jaminan harga makanan dan minuman akan diturunkan berikutan pengurangan harga gula bermula 1 September ini.
Presiden PRESMA, Ayoob Khan Muhamad Yakub, berkata meskipun harga gula bertapis turun sebanyak 10 sen sekilogram, mereka perlu mengambil kira kenaikan harga barangan lain pada tarikh berkenaan.
“Penentuan harga makanan dan minuman perlu mengambil kira keseluruhan harga barangan kerana untuk menghasilkan sesuatu makanan atau minuman, kita tidak hanya menggunakan gula.
“Sebagai contoh, bagaimana peniaga mampu menurunkan harga teh tarik jika harga susu pekat manis pula naik 10 sen,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, PRESMA akan mengumumkan senarai harga makanan dan minuman bagi peniaga yang berdaftar di bawah persatuan berkenaan sebagai panduan pengguna.
“Harga makanan dan minuman juga berbeza mengikut kawasan, harga di bandar lain manakala di luar bandar seperti kampung pula lain.
“Sebab itu, kita perlu tunggu 1 September ini untuk lihat keseluruhan barangan yang mengalami perubahan harga sama ada naik atau turun,” katanya.
Pandangan PRESMA turut persetujui Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman yang menganggap penurunan harga gula tidak menjangkakan harga makanan dan minuman akan turun.
Beliau berkata, menjelang 1 September ini, akan berlaku kenaikan dan penurunan harga barangan kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Kita berharap harga makanan dan minuman berada di paras stabil meskipun berlaku perubahan harga pada barangan lain kerana kita bimbang jika semua naik maka pengguna akan terbeban.
“Bagi mengawal kenaikan harga makanan dan minuman, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggun (KPDNHEP) perlu mengawal harga di peringkat pengilang atau pengeluar barangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata penurunan harga gula bertapis tidak perlu dijadikan alasan untuk pengguna mengambil makanan dan minuman manis.
“Kerajaan perlu mendidik pengguna walaupun harga gula turun, mereka tidak boleh sesuka hati mengambilnya pada kadar yang tinggi daripada biasa.
“Penentuan harga makanan dan minuman bergantung kepada peniaga atau pemilik restoran itu sendiri sama ada mereka mahu naik atau turun.
“Peniaga yang beretika akan lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan harga gula sebagai faktor utama kenaikan harga makanan dan minuman,” katanya.
Semalam, KPDNHEP mengumumkan penurunan harga gula bertapis 10 sen bagi setiap kilogram berkuat kuasa 1 September ini.
Artikel Oleh : Berita Harian
TAK JAMIN HARGA MAKANAN, MINUMAN TURUN
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/08/467109/tak-jamin-harga-makanan-minuman-turun