787) UTUSAN MALAYSIA 16/6/13-Berita baik untuk golongan pertengahan – NGO pengguna
25 Jun 2013
KUALA LUMPUR 15 Jun – Pelancaran kereta Proton
terbaharu, Saga SV dengan harga lebih rendah disifatkan sebagai berita
menggembirakan buat golongan pertengahan.
Malah, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan
Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata,
pengurangan harga kereta itu juga akan memberi manfaat kepada golongan muda
yang mahu membeli kereta pertama mereka.
Dalam masa sama, tambah beliau, inisiatif itu
merupakan keprihatinan tinggi syarikat kenderaan nasional tersebut terhadap
kehendak rakyat selain membuktikan kerajaan menunaikan aku janji dalam pilihan
raya umum lalu.
“Berita gembira ini diharap dapat diteruskan
oleh pengeluar kenderaan lain dalam membantu mengurangkan beban pengguna,”
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman pelancaran model mampu
milik Saga SV oleh Proton hari ini yang berharga antara RM33,438 hingga
RM36,888 iaitu kira-kira RM5,000 lebih rendah berbanding model terdahulu.
Mengulas isu sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berharap harga
kompetitif itu akan berkekalan untuk jangka masa panjang.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu memantau dan
mengawal harga kereta dari semasa ke semasa bagi menjamin rakyat terus
menikmati faedah tersebut,” katanya.
Post Views: 178