Kuala Lumpur: ‘Bila mau bayar’, ‘macam mana dengan payment’ (bayaran) dan ‘kalau tak bayar saya pergi cari sampai office’ (pejabat) antara mesej ugutan yang dihantar ke telefon bimbit seorang peminjam along walaupun mangsa meninggal dunia, bulan lalu.
Biarpun dimaklumkan dan dikemukakan bukti dokumen kematian, ia seperti tidak diendahkan along terbabit yang bertalu-talu menghantar WhatsApp dan SMS selain menghubungi nombor mangsa yang disimpan anaknya.
“Mangsa meminjam daripada 25 along sejak tahun lalu dan dalam proses menjadualkan semula pembayaran melalui PPIM.
“Malangnya belum sempat kita selesaikan semua proses itu, mangsa meninggal dunia bulan lalu. Selepas itu, kita maklumkan kepada semua along ini berserta bukti, tetapi mereka tidak mengendahkannya dan terus menghantar mesej ugutan ke telefon arwah.
“Ini kali pertama kita mengendalikan along yang langsung tidak ada budi bicara dan berterusan menghubungi peminjam biarpun tahu dia sudah meninggal dunia serta ada pihak ketiga menguruskan kes,” katanya di pejabatnya, semalam.
Hingga petang semalam, 60 panggilan daripada 15 along termasuk lebih 100 pesanan WhatsApp dan lebih 200 SMS diterima telefon bimbit arwah.
Semua bertanyakan mengenai tarikh bayaran dan mengugut untuk mencarinya di pejabat dan mengganggu keluarganya jika tidak menerima wang dalam tempoh ditetapkan.
Sementara itu, anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Mira, 28, berkata, arwah ibunya mula meminjam setahun lalu untuk membuka kedai jahitan di Pulau Pinang.
Artikel Oleh : Harian Metro
TUNTUT SI MATI BAYAR HUTANG
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/09/376766/tuntut-si-mati-bayar-hutang