Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
JAGA KESIHATAN KETIKA MISI BANTUAN KECEMASAN – BERITA HARIAN – 15/10/18
15 Oct 2018

BH ( risiko penyebaran wabak ) 15.10.18

SEPANG: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta sukarelawan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi bantuan di Sulawesi Tengah supaya menjaga kesihatan berikutan risiko penyebaran wabak penyakit di kawasan itu selepas tragedi gempa bumi serta tsunami.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wabak penyakit seperti malaria akan menjadi masalah yang muncul selepas berlakunya tragedi gempa bumi.

“Kita doakan semoga selamat pergi dan selamat balik. Apabila ada gempa, (wabak penyakit) akan menjadi masalah seterusnya.

“Jadi, kita perlu tahan diri (menjaga kesihatan) supaya kita dapat menolong orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Sulawesi oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Seramai 41 sukarelawan menyertai misi berkenaan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery.

Dr Wan Azizah turut menyatakan penghargaan dan rasa kagum beliau terhadap sukarelawan yang terbabit kerana tidak semua orang mampu melaksanakan tanggungjawab itu.

“Ia memerlukan kecekalan dan bukan calang-calang orang boleh menahan risiko, sekali gus membawa dan mengharumkan nama Malaysia kerana Allah,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Sani berkata, misi berkenaan yang akan berlangsung sehingga 25 Oktober ini adalah yang kedua selepas misi pertama oleh MAPIM pada 2 Oktober lalu.

Katanya, misi berkenaan disertai doktor, sukarelawan MAPIM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), artis dan media.

“MAPIM dengan kekuatan koordinasi lapangan dan NGO setempat akan menyampaikan bantuan kecemasan termasuk 3,000 kotak makanan, pek kelengkapan solat, barangan kebersihan diri, makanan dan susu bayi.

“Ini semua adalah hasil sumbangan wang tunai terkumpul daripada orang ramai yang berjumlah RM500,000 setakat ini,” katanya.

Dr Ahmad Sani berkata, pihaknya juga sudah membina tiga perigi yang dinamakan Perigi Malaysia bagi membekalkan air bersih kepada mangsa tragedi dan akan membina tujuh lagi perigi.

“Selain itu, MAPIM juga akan menghantar dua ambulans hasil koordinasi dengan Persatuan Bulat Sabit Merah Indonesia kerana ada keperluan mendesak untuk membawa pesakit yang cedera,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya terus menyampaikan sumbangan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami Sulawesi bagi mencapai sasaran RM1.2 juta yang ditetapkan pihaknya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada MAPIM Malaysia melalui www.billplz.com/RayuanSulawesi atau melalui akaun Maybank 5582 2060 5312.

Artikel Oleh : Berita Harian

JAGA KESIHATAN KETIKA MISI BANTUAN KECEMASAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/486144/jaga-kesihatan-ketika-misi-bantuan-bencana