15 Okt, Palu – Delegasi sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) selamat tiba di Palu, Sulawesi seawal 6.30 pagi.
Delagasi sukarelawan Mapim bersama media dan beberapa NGO serta agensi lain ini akan berkampung di rumah tinggalan gempa yang terletak di Jalan Tomampe.
Sejurus tiba di Palu awal pagi tadi, mereka menempuh perjalanan beberapa jam sebelum tiba ke lokasi dan terus menjalankan kerja bergotong royong membersihkan kawasan yang bakal mereka jadikan pusat operasi sementara mereka sepanjang berada disana.
Wakil PPIM yang menyertai misi dimaklumkan mereka tidak dapat melawat kawasan tempat berlakunya gempa aliran bawah tanah kerana kawasan itu dipercayai tercemar dengan wabak yang kini aktif.
Kawasan yang dinamakan Balaroa itu tidak dapat dimasuki oleh sukarelawan dan semalam pihak kerajaan Indonesia telah membuat semburan anti bacteria di tempat tersebut.
Misi Bantuan Kecemasan Sulawesi Tengah Mapim yang melibatkan 41 orang sukarelawan termasuk media diketuai oleh Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery.
Selepas kurang 24 jam tiba di Palu, mereka telah melawati kawasan Patebo dan sepanjang pantai Palu termasuk jambatan kuning yang musnah dalam bencana alam itu.
Kawasan ini asalnya kawasan perumaham atau perkampungan dikenali Patebo di Palu, Sulawesi.
Kawasan ini dilaporkan tempat dimana berlaku gempa aliran bawah tanah. Tanah disitu terangkat setinggi 8-10 meter dan tenggelam semula.
Antara bantuan yang dibawa delagasi ini ialah 3,000 pek makanan, 2,000 pek alat kebersihan (hygiene pack), 2 ribu pek keperluan solat mengandungi sejadah dan telekung selain susu bayi, susu untuk ibu (mengandung), lampin bayi dan tuala wanita.
Mereka juga akan menggali 10 perigi yang digelar ‘perigi Malaysia’ bagi menyediakan bekalan air bersih kepada mangsa-mangsa di sana yang kekurangan keperluan asas itu.
Sukarelawan lain yang turut serta ialah dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim dan petugas perubatan Persatuan Amal, Kebajikan dan Perubatan Malaysia (MediCom).
Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu pada 28 September lalu telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan dengan tragedi berkenaan.