2603) UTUSAN MALAYSIA – 5/3/16 – “LALUAN HIJAU” SELESAIKAN ISU HARGA RUMAH MAHAL – PPIM
05 Mar 2016
KUALA LUMPUR 4 Mac – Kaedah baharu seperti mewujudkan `laluan hijau’ yang mempercepatkan proses pembinaan rumah diyakini mampu menyelesaikan isu kenaikan harga aset tersebut.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara yang perlu diberi perhatian dalam kaedah itu adalah proses pembinaan rumah yang memakan masa sehingga menyebabkan kos perbelanjaan memberi kesan kepada pembeli.
Menurutnya, proses prapembelian seperti urusan bersama arkitek, pengurus projek pembinaan, peguam, pihak insurans dan individu menguruskan cukai terlibat juga perlu dipercepatkan.
“Bank perlu memainkan peranan dengan melonggarkan syarat pinjaman kerana banyak kes yang kita dengar, mereka sudah berjaya mendapatkan rumah tetapi terpaksa melupakan niat tersebut disebabkan pinjaman yang disekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda meminta kerajaan mengkaji semula Dasar Perumahan Negara 2011 yang dilihat tidak bersesuaian dengan masa sekarang.
Menurut Azih, lebih 70 peratus penjawat awam yang telah berkahwin serta berusia 40 tahun ke bawah tidak mampu memiliki rumah ekoran harga yang melambung tinggi.
Mengulas lanjut, Nadzim menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu memilih untuk memiliki rumah di kawasan bandar walaupun perkara itu mampu mengurangkan kos perjalanan pergi balik ke tempat kerja.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu berusaha mewujudkan sistem pengangkutan awam efektif yang membolehkan setiap pekerja di luar bandar sampai ke tempat kerja pada waktu sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCC), Muhammad Sha’ni Abdullah berkata, satu resolusi baharu yang memperkenalkan caj tertentu perlu dikenakan ke atas setiap individu yang ingin membeli rumah kedua.
“Daripada sumber itu, kita dapat menyalurkan sumbangan berbentuk subsidi kepada pembeli yang baru pertama kali ingin memiliki rumah idaman, sekali gus menampakkan usaha kerajaan mendekati rakyat. “Kaedah ini juga dipercayai dapat membantu rakyat yang tidak berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam kerana kebanyakan daripada mereka masih mempunyai pendapatan yang rendah,” katanya.
Post Views: 161