RESTORAN BERSIH PENUHI TUNTUTAN AGAMA – HARIAN METRO – 22/3/19
22 Mar 2019
“INISIATIF untuk menjadikan persekitaran kedai ini sentiasa bersih perlu dicontohi pemilik restoran lain kerana ia digalakkan dalam agama.
“Kalau semua pemilik restoran mempunyai sikap begini, sudah tentu ia menarik minat ramai orang, sekali gus mengangkat martabat Islam di negara kita,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Beliau bersama rakan strategik lain termasuk Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur (PPPBKL) mengadakan program Nasi Lemak Kopi O di Restoran Ali Cafe Tomyam, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur dan akan menjadikan premis itu sebagai kedai makan contoh khususnya kepada semua ahli PPIM.
Katanya, ia membuktikan usahawan Bumiputera mampu menyediakan perkhidmatan setanding orang lain atau rangkaian restoran terkemuka di negara ini.
Menurutnya, daripada segi kepenggunaan, kualiti perkhidmatan baik amat dituntut terutama ketika pengguna mempunyai banyak pilihan termasuk restoran makanan segera.
“Saya kagum dengan kesungguhan usahawan kita berniaga seperti ini. Masuk ke dapur kita boleh bezakan dengan tempat lain. Ini perlu dijadikan contoh,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.
Hadir sama, pemilik Restoran Ali Cafe, Ali Syed Mohamed; Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman dan Presiden PPPBKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman.
Kisah hidup Ali yang bermula sebagai penjual burger pernah disiarkan Metro Ahad pada 3 Mac lalu dan mendapat reaksi positif daripada netizen.
Dia yang hanya belajar sehingga berumur 15 tahun kini banyak mengendalikan program bersama anak yatim dan maahad tahfiz di restorannya itu.
Sementara itu, Ali berkata, dia akan terus berusaha memastikan kualiti di premisnya dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjamin kepuasan pelanggan.
“Saya ingin berterima kasih kepada PPIM dan PPPBKL kerana banyak memberi dorongan untuk berjaya. Insya-Allah, saya akan berkongsi dengan sesiapa saja yang ingin berniaga,” katanya.
Artikel oleh : Harian Metro
RESTORAN BERSIH PENUHI TUNTUTAN AGAMA
Post Views: 223