MISI kemanusiaan kali ke-12 Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Syria lebih bermakna apabila mereka bakal mendirikan sebuah penempatan lengkap pelbagai kemudahan buat pelarian Syria di Idlib.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Ahmad Sany Araby Al-Kahery berkata, penempatan yang diberi nama Perkampungan Ummah itu berjaya direalisasikan hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi kutipan yang dilancarkan sejak dua bulan lalu.
“Selain itu, kami juga akan membekalkan kira-kira 15,000 helai selimut, dua ambulans dan empat kontena berisi makanan untuk keperluan pelarian Syria khususnya berhampiran sempadan Turki,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan delegasi misi kemanusiaan musim sejuk MAPIM ke Lebanon, Syria dan Afrika, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Majlis pelepasan misi kemanusiaan berkenaan disempurnakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Abu Bakar Yahya.
Misi berkenaan turut disertai 17 sukarelawan terdiri aktivis MAPIM; artis Heliza Helmi dan Hazwani Helmi; Angkatan Pertahanan Awam; pengamal media dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Katanya, misi selama 24 hari itu bermula hari ini sehingga 26 April ini.
Dr Ahmad Sany berkata, misi ke Syria juga akan memasuki 12 zon titik panas dengan diiringi pasukan daripada kerajaan Turki.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan Lebanon bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan bernilai RM500,000, selain ke Ethiopia, Burundi dan Rwanda bagi meninjau keperluan masyarakat dan krisis kemanusiaan di negara berkenaan.
“Kami juga akan ke Turki untuk menandatangani memorandum persefahaman dengan agensi, badan bukan kerajaan (NGO) bagi keperluan misi kemanusiaan dan kebajikan pelarian Syria.
“Kos keseluruhan misi ini adalah sekitar RM5 juta. Kami mensasarkan kutipan sebanyak RM8 juta bagi merealisasikan impian MAPIM membina sekolah bagi kanak-kanak pelarian di Syria,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia supaya berkongsi kenikmatan dengan rakan seagama yang memerlukan bantuan.
“Saya melihat misi kemanusiaan dikendalikan MAPIM ini harus dicontohi khususnya dalam membela nasib rakan seagama di negara bergolak,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang menerusi akaun Maybank MAPIM, Syria Emergency Appeal 562834636987 atau melayari laman web www.tabungsyria.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Artikel oleh : Harian Metro
MISI PENUH MAKNA
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/440488/mapim-bina-perkampungan-ummah-di-syria