Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BERITA PILIHAN DARI MYNEWSHUB: PPIM Bidas Bank Jual Nama ‘ Perbankan Islam’ Untuk Kaut Untung!
18 Feb 2012

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membidas bank-bank yang menggunakan nama ‘Islam’ dalam usaha untuk mempromosi dan menjual produk kewangan masing-masing sedangkan hakikatnya mereka masih menindas serta menggunakan kaedah yang bertentangan dengan syarak.
Sehubungan dengan itu, PPIM mendesak agar panel pelaburan syariah bank-bank dirombak dan digantikan dengan panel yang lebih bebas bagi mengelakkan berlakunya konflik berkepentingan atau ‘conflict of interest’.
Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abd Razak berkata, penggunaan nama ‘Perbankan Islam’ selama ini telah disalah guna, diperguna dan disalah tafsir oleh bank-bank untuk mengaut keuntungan melampau.
Ini, katanya, menghakis kepercayaan pengguna sekaligus memberi gambaran negatif terhadap agama suci itu sendiri.
” Masa nak beri pinjaman bukan main lagi guna cara Islam seperti akad dan sebagainya tetapi bila nak kutip hutang, tiba-tiba mereka guna cara konvensional, tekan pengguna, kenakan caj yang melampau-lampau hingga tak masuk dek akal.
” Lebih malang lagi kerana mereka yang duduk dalam panel pelaburan syariah bank-bank itu seolah-olah berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa mengenainya, justeru ia mesti dirombak.
” Kesimpulannya, kami istilahkan bank-bank ini cuba mendapatkan untung melalui ‘backdoor’ riba,  kami dah dapat banyak aduan mengenainya, sehubungan itu Bank Negara diberi masa seminggu untuk memberi penjelasan mengenai perkara yang cukup menyedihkan ini,” kata Tunku Azwil dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Untuk rekod, Perbankan Islam adalah satu sistem perbankan berlandaskan lunas dan prinsip Syariah dan didukung oleh sistem ekonomi Islam.
Ia mengharamkan pengambilan riba’ (mengumpul dan memberi faedah), pengenaaan kadar faedah yang terlalu tinggi kepada pinjaman dan perniagaan yang tidak halal di sisi Islam.
Mynewshub.my difahamkan, kaedah perbankan Islam kini semakin berkembang sebagai tren terkini senario perbankan global.
Dalam perkembangan yang sama, Tunku Azwil meminta bank-bank yang melaksanakan kaedah Perbankan Islam ini agar menekankan prinsip utama agama suci itu dalam semua urusan muamalatnya.
” Mereka (bank) tidak boleh terlalu menekan pelanggan masing-masing, tidak mengambil keuntungan melampau, tidak mengambil keuntungan melalui manipulasi dan mengamalkan kezaliman,” katanya.
Yang lebih penting, tegas Tunku Azwil, bank hendaklah membantu mereka yang sudah, tertindas atau berhutang kerana sudah menjadi prinsip Islam membantu orang yang menanggung hutang. – Oleh SYAHRIL A. KADIR/ Foto MOHD. YUMNI HARUN (Mynewshub.my)
Sumber:

http://mynewshub.my/2012/02/17/ppim-bidas-bank-jual-nama-perbankan-islam-untuk-kaut-untung/

Lain-lain rujukan:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0218&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm&arc=hive

http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=646338