Mangsa yang berumur 24 tahun sebelum kejadian malang itu memandu kereta bersendirian menuju ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter Shah Alam di Seksyen 19, kira-kira jam 6 pagi.
Difahamkan, setiap hari mangsa menaiki komuter untuk ke tempat kerjanya di ibu negara.
Menurut sumber, ketika mangsa baru meletakkan kenderaannya, datang sebuah kenderaan lain dinaiki dua lelaki.
“Suspek menarik keluar mangsa dan terus mengacukan sebilah parang dilehernya. Suspek meminta wang tetapi mangsa mengatakan duit di dalam bank.
“Berang dengan pengakuan tersebut, suspek mencabut tudung mangsa dan mengikat matanya. Mangsa dibawa lari menaiki kereta dengan niat untuk membawanya ke bank,” katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun tidak membawa mangsa ke bank, sebaliknya membawa wanita itu ke sebuah rumah yang tidak dikenal pasti.
“Mangsa terus dikurung di dalam sebuah bilik. Kemudian, datang seorang lagi suspek, merogol dan merakam gambar bogel mangsa,” katanya.
Sumber berkata, sebelum didatangi suspek ketiga, mangsa dipaksa meminta wang daripada keluarga atas alasan salah seorang penjenayah itu berhutang dengan ah long, RM2,000.
“Selepas dirogol dan diugut, mangsa menelefon teman lelakinya dan meminta wang RM500,” katanya.
Menurutnya, suspek membawa mangsa untuk mengeluarkan wang tersebut sebelum ditinggalkan di Stesen KTM Komuter Batu 3, dalam keadaan tidak bermaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.