KUALA LUMPUR: “Saya terpaksa membawa keluarga ‘berteduh’ di beberapa pantai untuk mengelak dikesan along.
“Selama 15 hari saya bersama isteri berusia 53 tahun serta dua anak tiri perempuan berusia 23 dan 25 tahun tinggal di sana selain terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang,” kata Khairul Anuar, 37, yang menjadi mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Katanya, dia meminjam wang berjumlah RM1,400 pada 11 Mei lalu untuk membuat pusingan modal bagi perniagaan di gerainya di Chendering, Terengganu.
“Pada awalnya, saya difahamkan pinjaman itu berkonsep Islamik selain tidak mempunyai kadar bunga yang tinggi.
“Namun, apabila terdesak dan tidak dapat membayar dalam tempoh ditetapkan saya diugut along selain perlu menjelaskan wang itu dengan segera,” katanya dalam sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Khairul berkata, akibat tertekan dengan situasi itu dan sering diganggu along, dia membawa keluarga keluar dari rumah pada 12 Julai lalu dan berteduh di sekitar pantai di Terengganu.
“Dalam tempoh itu, saya meminta sumbangan kewangan daripada kenalan untuk membeli makanan selain meminta bantuan daripada pengunjung di sekitar kawasan berkenaan.
“Pada 15 Julai saya ke PPIM, Kuala Lumpur untuk meminta bantuan sebelum kembali ke Terengganu.
“Selepas meneliti aduan saya, PPIM memasukkan wang pada 27 Julai lalu sebagai kos pengangkutan untuk saya membawa keluarga ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
“Pihak kami melihat tawaran pinjaman itu semakin berleluasa dan perlu dilumpuhkan segera.
“Situasi itu bukan saja boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan, malah mengundang aktiviti jenayah jika mangsa tiada pilihan lain,” katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
ALONG ALA ISLAMIK
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/483155/along-ala-islamik