KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kempen utamakan produk Muslim perlu dilihat dari perspektif yang lebih besar bagi menjurus ke arah keharmonian kaum.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, umat Islam membeli produk bumiputera supaya perniagaan mereka terus maju dan setanding dengan produk yang dihasilkan bukan bumiputera.
“Langkah ini sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda bumiputera,” katanya kepada Utusan Online hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mahu UMNO dan Pas membantu menghentikan kempen boikot produk bukan bumiputera kerana gerakan itu tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, sekiranya UMNO dan Pas tidak memusuhi masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu, kedua-dua parti itu seharusnya membantah kempen tersebut.
Nadzim menambah, dengan sokongan yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat kita, sekurang-kurangnya ekonomi bumiputera khususnya orang Islam akan meningkat dan terbela.
Dalam pada itu, beliau berkata, kempen yang dijalankan oleh NGO terbabit adalah mewujudkan kesedaran dalam kalangan bumiputera atas penghinaan golongan tertentu terhadap negara dan Islam.
Tambahnya, antara isu yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah menolak pengenalan tulisan khat dan Jawi yang sememangnya sudah bertapak di negara ini sejak awal lagi.
“Mereka juga sanggup mengibarkan Jalur Gemilang terbalik, menghina peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina Nabi Muhammad SAW,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PERLU MELIHAT PERSPEKTIF LEBIH LUAS
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/perlu-melihat-perspektif-lebih-luas-1.964369