Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KAWAN SEJATI MUNCUL SEWAKTU KITA SUSAH – KOSMO – 02/09/2019
03 Sep 2019

BENAR kata orang, kalau nak tahu siapa rakan sejati kita, tunggulah saat kita dilanda musibah atau berada dalam kesusahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang berlaku kepada penulis beberapa minggu lalu ketika syarikat yang hampir 22 tahun menjadi tempat bergantung mencari rezeki me­ngalami masalah kewangan yang agak kritikal.

Ketika itu, semua orang bercakap tentang kemelut syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang menjadi payung kepada ratusan kakitangan. Tidak kurang juga ada yang mencemuh atas sebab-sebab yang hanya mereka sendiri tahu.

Dalam banyak-banyak rakan penulis, ada dua tiga orang yang bertanyakan khabar dan hairan bagaimana penulis dapat bertahan hampir tiga bulan tanpa gaji.

Mereka melahirkan rasa simpati dengan apa yang berlaku dan meminta agar terus tabah menghadapi ujian yang maha berat ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Dalam kepayahan mencari sinar di hujung te­rowong ini, keluarga terutama isteri yang banyak membantu meringankan seketika bebanan yang ada.

Namun, apa yang penulis benar-benar terharu dan tersentuh malah hampir menitiskan air mata apabila terdapat seorang rakan yang menghantar WhatsApp meminta nombor akaun bank penulis.

Setahu penulis, rakan tersebut bukan orang senang dan sedang diuji dengan sejenis penyakit, selain anak-anaknya masih kecil.

Setelah menghubunginya, dia menyatakan i­ngin membantu kerana memikirkan seorang rakan yang tidak mendapat gaji sejak sekian lama dan memahami situasi bagaimana hidup dalam kesusahan.

Penulis menolak permintaannya dengan baik memandangkan dirinya pun bukan tergolong dalam orang senang walaupun dia mengatakan tidak banyak yang dia ingin sumbangkan.

Inilah hakikat kehidupan di dunia yang serba mencabar ini. Pada saat kita berada di ambang kesusahan, sahabat yang mengerti erti kepayahan sahaja yang sanggup bertanya khabar dan ingin membantu dalam bentuk wang ringgit meskipun dalam jumlah yang kecil.

Rakan-rakan yang seangkatan dan mempunyai kehidupan lebih baik, usahkan ingin menawarkan bantuan kewangan, bertanya khabar pun jauh sekali.

Bukannya berharap sangat rakan-rakan membantu, bertanya khabar pun sudah memadai bagi meringankan bebanan setinggi gunung yang digalas ini. Barulah mengenali siapa yang benar-benar ikhlas dengan kita dan sebaliknya.

Alhamdulillah, dalam kepayahan mengharungi kehidupan ini, banyak pihak kini tampil menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk barangan keperluan harian dan sebagainya.

Kempen untuk membeli akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia bagi kelangsungan syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini yang dilancarkan baru-baru ini oleh pelbagai pihak terma­suk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia me­nerima sambutan yang agak memberangsangkan.

Semoga sambutan dan bantuan daripada pembaca dan doa semua orang yang masih sayangkan Kosmo! dan Utusan Malaysia dapat mengeluarkan syarikat ini daripada kemelut yang dihadapi sekarang. Amin.

Artikel oleh: Kosmo

KAWAN SEJATI MUNCUL SEWAKTU KITA SUSAH

http://www.kosmo.com.my/negara/kawan-sejati-muncul-sewaktu-kita-susah-1.964034