Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM AKTIFKAN SEKRETARIAT CEGAH JUDI – HARIAN METRO – 13/11/2019
13 Nov 2019

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengaktifkan sekretariat khas yang akan menjalankan kempen pencegahan judi nombor ekor di kawasan penempatan majoriti penduduk Islam susulan terdapat aduan mengenainya oleh orang awam.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, sekretariat itu antara lain akan berfungsi memberi nasihat dan penerangan kepada umat Islam yang dikesan mengunjungi kedai nombor ekor terutama di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, walaupun isu terbabit bukan perkara baru tetapi pihaknya akan meneruskan inisiatif berkenaan sebagai satu dakwah kepada masyarakat Islam dan mengajak mereka yang terjebak ke dalam kancah itu kembali ke pangkal jalan.

“Sebenarnya kita sudah perhatikan perkara ini sejak lama. Keadaan ini diburukkan dengan adanya premis kedai nombor ekor di kawasan majoriti orang Melayu Islam dan kita persoalkan di mana sensitiviti mereka ini.

“Itu satu hal kita kena bantu. Kalau yang berurusan membeli nombor ekor di kedai tidak berlesen itu pun satu masalah juga.

“Untuk itu, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memantau lokasi yang akan kita tentukan.” katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, sejak awal tahun ini, pihaknya menerima aduan mengenai pembukaan premis judi baru di sekitar Kuala Lumpur di mana lokasi itu adalah di kawasan penempatan orang Islam yang dibimbangi akan terpengaruh untuk mencuba nasib.

Menurutnya, isu judi mencatatkan antara aduan paling banyak diterima PPIM termasuk dalam talian dan ia menimbulkan masalah lain seperti hubungan kekeluargaan dan pelakuan jenayah.

“Sekretariat ini nanti akan mengedarkan risalah mengenai bahaya berjudi serta memberi nasihat dan penerangan termasuk kaunseling ringkas kepada mereka sama ada yang membeli nombor ekor atau menunggu kawan.

“Jelas kita mahu semua orang faham betapa isu ini akan berangkai kepada masalah lain hanya kerana kita tidak mahu patuh kepada saranan agama.

“Soal orang bukan Islam dibenarkan, itu isu lain kerana mereka ada hak sebagai rakyat di negara ini,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM AKTIFKAN SEKRETARIAT CEGAH JUDI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/11/516818/ppim-aktifkan-sekretariat-cegah-judi