Kenyataan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Berhubung Aduan Pekerja Pembinaan Tidak Mengamalkan Ciri Keselamatan Di Tapak Pembinaan
30 Dec 2010
Kenyataan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Berhubung Aduan Pekerja Pembinaan Tidak Mengamalkan Ciri Keselamatan Di Tapak Pembinaan
|
KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGAMALKAN CIRI KESELAMATAN |
Saban hari kita mendengar berita berbagai jenis kemalangan berlaku. Daripada kemalangan jalanraya kepada kemalangan industri. Betapa ruginya negara apabila sesuatu kemalangan berlaku dan yang paling malang kebanyakan kemalangan ini biasanya boleh dielak tetapi tabiat buruk dan budaya tak kisah menguasai kita.
Gambar-gambar yang dilampirkan adalah pemandangan kerja-kerja menyiapkan Regalia Apartment, di Jalan Kuching dari tingkat 40 kediaman berhampiran. Kelihatan lebih dari 4 orang pekerja bersahaja bekerja tanpa menggunakan sebarang alat keselamatan seperti topi keselamatan@safety helmet, kasut keselamatan@safety boot malah, ada juga yang berseluar pendek.
Di mana penyelia yang sepatutnya menentukan pematuhan undang-undang dan peraturan keselamatan? Di mana jabatan/PBT berkaitan yang patut melaksanakan undang-undang?
Haruskah perlu ditunggu dan dibiar ada kemalangan atau kematian dulu baru sibuk nak kuatkuasakan peraturan? Selepas 2 bulan, ulangi lagi sindrom lupa tersebut!
Inilah yang terjadi jika kita tunggu dan biar. Sikap inilah yang menjadi antara punca kemalangan bas yang meragut banyak nyawa kebelakangan ini. Kelalaian dan kecuaian pihak pengurusan atasan dalam memantau pekerja bawahan/teknikal inilah yang menggalakkan perkara yang boleh dibendung/dielakkan terus berlaku. Apabila nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh diperbetul. Malah, semua pihak saling salah-menyalah dan saling menunding jari antara satu sama lain.
PPIM berharap semoga di tahun baru ini, semua pihak yang di dalam industri berkaitan berazam untuk mengelak kemalangan dan bekerja dengan penuh kesungguhan dan amanah. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah!
Sebarang maklumat, boleh menghubungi sekretariat di 019-9130000. [end]
Post Views: 198