CYBERJAYA – Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) bercadang untuk memperluaskan rangkaian perniagaan dalam memasarkan produk Muslim menerusi Malakat Mall di Indonesia.
Ketua Pengarah Operasi KoPPIM, Fadzil Hashim memaklumkan, pihaknya turut meletakkan sasaran untuk membuka 1,000 Malakat Mall di Indonesia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Sebenarnya dalam perancangan kita nak mulakan di Malaysia dahulu sebab ini yang mudah (kerana) berada di sini, tetapi kena ingat kita kena harus yakin bahawa perancangan ALLAH punya perancangan sendiri.
“Kalau Malakat Mall di Malaysia 100, paling kurang 1,000 Malakat Mall di Indonesia sebab di Indonesia kesannya akan memberi satu kekuatan kebangkitan seluruh umat Islam yang jumlahnya hampir dua bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan Ekonomi Islam sempena Pra Pelancaran Malakat Mall Cyberjaya di sini malam tadi.
Sesi zikir munajat dan solat hajat itu dipimpin oleh tokoh ulama terkenal Indonesia iaitu Habib Agil Yahya, Kiyai Pasentren Wali Songo, Maulana Wan Tahir Al-Mazahiri dan Kiai KH Dr Zainul Ariffin.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Presiden Pembela, Aminuddin Yahaya, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali serta lebih 1,000 pelajar tahfiz.
Mengulas lanjut, menurut Fadzil apa yang cuba dicetuskan dalam KoPPIM melalui projek strategik Malakat Mall itu adalah bersifat sistematik dengan mempunyai satu sasaran yang sangat jelas.
“Maka sekiranya kekuatan ini dapat kita garapkan dan dapat kita kembangkan dan laksanakan kita yakin dan pastilah penguasaan ekonomi khusus dalam bidang peruncitan akan dikuasai orang Islam,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran kesemua jemputan pada majlis tersebut sebagai satu sejarah baharu di negara ini apabila zikir, munajat dan doa-doa dipanjatkan kepada ALLAH SWT di pusat beli-belah itu.
“Ia bukan sesuatu yang kita pernah lihat sebelum ini. Ribuan anak tahfiz sekolah pondok, guru sekolah pondok dan para ulama Nusantara, melakukan zikir dan munajat untuk kejayaan usaha kita ini,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
MALAKAT MALL BAKAL PERLUAS PASARAN PRODUK MUSLIM DI INDONESIA