Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ATASI SEGERA MASALAH PEMANDU MABUK – HARIAN METRO – 27/01/2020
27 Jan 2020

BUKAN saja kerajaan perlu mengambil langkah serius malah mereka yang berada di dalam rantaian penjualan dan pembekalan minuman keras juga perlu diberikan ‘tekanan’ agar isu pemandu mabuk dapat diselesaikan segera.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu dan melihat isu pemandu mabuk sebagai masalah nasional yang memerlukan tindakan segera.

Menurutnya, jika masalah ini dipandang sepi dan sekadar ‘bermusim’, ia dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak nyawa tidak berdosa melayang hanya disebabkan sikap mementingkan diri sesetengah pihak.

“Sekarang kita lihat kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin banyak dan lebih membimbangkan kejadian menyebabkan kematian kepada mereka yang tidak berdosa.

“Kerajaan dan pihak yang berada dalam rantaian penjualan dan pembekalan minuman keras ini perlu mencari satu mekanisme yang menyeluruh untuk membendung masalah ini daripada terus merosakkan masyarakat,” katanya dalam sidang media di pejabat PPIM di Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media yang dihadiri 20 badan bukan kerajaan (NGO) itu juga akan menghantar memorandum yang mengandungi resolusi perlu diperhalusi kerajaan untuk dikuat kuasakan.

Memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Jumaat ini untuk tindakan kerajaan dan kementerian berkaitan.

Nadzim berkata, antara kandungan memorandum itu adalah memperkenalkan akta baru khusus yang memfokuskan arak sebagai subjek utama seperti yang dilaksanakan kepada kesalahan membabitkan dadah.

“Bukan saja kerajaan malah mereka yang terbabit dalam penjualan minuman keras seperti peniaga, pelayan bar dan pemilik premis hiburan perlu mengambil tanggungjawab sama untuk memastikan masalah ini tidak terus menjadi ‘pembunuh’ dalam masyarakat.

“Undang-undang sedia ada juga perlu ditambah baik daripada segi hukuman agar ia dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab sesuai dengan keadaan semasa seterusnya melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

ATASI SEGERA MASALAH PEMANDU MABUK

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/538812/atasi-segera-masalah-pemandu-mabuk