Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAYU TERUS GUNA SURAU – HARIAN METRO – 30/01/2020
30 Jan 2020

AHLI Jawatankuasa Surau Baitul Mukarram di Kompleks Damai, di sini, merayu Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (KOWAJA) untuk terus memberi kebenaran beroperasi di situ seperti mana perjanjian yang dipersetujui bersama lima tahun lalu.

Ahli Jawatankuasanya Anuar Ahmad berkata, ini kerana mereka diberikan notis untuk keluar dari surau berkenaan selewat-lewatnya hari ini kerana didakwa mempunyai tunggakan sewa biarpun sudah dilunaskan baru-baru ini.

Katanya, jika arahan keluar itu diteruskan, pihaknya bimbang segala aktiviti surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu akan tergendala dan mereka terpaksa mencari tapak lain untuk membina tempat ibadat baru.

“Kami menyewa dengan KOWAJA berdasarkan perjanjian asal 3+2 tahun pada 2016.

“Namun terdapat sedikit masalah pembayaran menerusi proksi tetapi ia sudah pun diselesaikan.

“Tiba-tiba kami diarahkan keluar walaupun perjanjian masih lagi berbaki setahun.

“Apa yang kami mohon ialah beri peluang untuk kami meneruskan operasi di surau setidak-tidaknya seperti yang dipersetujui bersama kerana kami juga menghabiskan RM80,000 untuk kos mengubahsuai surau ini ketika mula-mula masuk dulu,” katanya yang mengadakan perbincangan bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah di pejabat ANGKASA, Kelana Jaya, hari ini.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya berharap koperasi berkenaan dapat mempertimbangkan untuk memberi ruang kepada surau terbabit beroperasi kerana ia adalah untuk kegunaan umat Islam di kawasan sekitar.

Selain itu, katanya, ahli koperasi terbabit juga menggunakan surau berkenaan dan sewajarnya ia diteruskan demi kebaikan bersama.

“Dalam prinsip gerakan koperasi juga ada disebut mengenai soal kebajikan, jadi saya harap isu ini dapat ditangani dengan baik kerana ia juga untuk memudahkan umat Islam beribadat,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

RAYU TERUS GUNA SURAU

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/539888/rayu-terus-guna-surau