“SAYA bimbang dengan keadaan bakal doktor kita di sana. Kebetulannya saya juga dihubungi ibu bapa penuntut lain yang gusar dengan keadaan anak mereka.
“Kita berharap kerajaan dapat membawa pulang mereka secepat mungkin kerana penuntut kita kini berdepan kemungkinan keadaan semakin memburuk,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Katanya, beliau dimaklumkan anak saudaranya, Aina Anis Camelia, 20-an, bersama lebih 350 penuntut sedang menuntut jurusan perubatan di Belgaum, Karnataka, India, kini terkandas dan berharap dapat pulang ke tanah air secepat mungkin.
Katanya, perkara itu sudahpun dirujuk kepada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk perhatian kerajaan kerana ada juga ibu bapa yang membuat aduan kepada pihaknya hari ini.
“Menerusi makluman awal saya terima, laporan harian serta pemeriksaan di sana tidak dibuat secara menyeluruh seperti kita di sini.
“Kita bimbang jika mereka lambat dibawa pulang, ia akan memberi kesan kepada kesihatan penuntut ketika Covid-19 ini juga dikatakan sudah merebak ke seluruh India,” katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, berdasarkan perbincangannya bersama ibu bapa, lokasi penempatan semua penuntut berkenaan adalah jauh dari Konsulat Malaysia di Chennai, Mumbai dan Delhi menyebabkan mereka bimbang jika keadaan terus kritikal.
Katanya, selain itu PPIM juga berharap tindakan proaktif dapat diambil segera bagi mengelakkan perkara yang buruk berlaku kerana jumlah mereka yang ramai selain bidang pengajian mereka yang kritikal.
Artikel oleh: Harian Metro
SEGERA BAWA PULANG PENUNTUT KITA DI BELGAUM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/559699/segera-bawa-pulang-penuntut-kita-di-belgaum