Kuala Lumpur: Saranan mewajibkan peniaga e-bazar Ramadan mengambil suntikan vaksin anti tifoid adalah langkah terbaik dalam mengekang penularan penyakit lain.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata adalah sangat penting peniaga makanan untuk melalui satu proses menentukan produk yang dikeluarkan mematuhi syarat asas kebersihan demi kepentingan orang ramai.
Katanya, ada kalangan peniaga makanan yang kurang sensitif mengenai aspek kebersihan sebagai disiplin dalam kehidupan dan tidak menjadikan ia satu amalan.
“Kebanyakan peniaga kurang menitikberatkan kebersihan yang mana bagi peniaga beragama Islam contohnya, mereka perlu memahami maksud suci, tetapi malangnya kebersihan itu sendiri pun diabaikan.
“Jadi, untuk memastikan kebersihan itu menjadi keutamaan, kita kena sahut seruan kerajaan untuk menjadikan budaya baharu sebagai kebiasaan dalam kehidupan ini.
“Kebersihan ini sebagai satu asas untuk membina sebuah negara, contohnya seperti negara Jepun di mana rakyatnya mampu mendisiplinkan diri dalam kebersihan dan negara mereka maju,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Melalui kebersihan ini juga semua pihak dapat menjaga rantaian kehidupan antara masyarakat dan terjaga daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.
“Justeru, sewajarnya tidak kira sesiapa pun, apabila menjadi peniaga makanan, kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan mengambil suntikan tifoid ini perlu.
“Kita mesti jaga kita dan semua orang mendapat kebaikan dalam budaya baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed, berkata saranan suntikan anti tifoid yang wajib diambil peniaga makanan sangat dialukan, namun dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19 ini, ia dilihat agak sukar untuk dilaksanakan.
Ketika ini, ramai peniaga kecil-kecilan mencari peluang menerusi e-bazar, namun dengan peraturan baharu yang diwujudkan itu, ia seolah memberi satu halangan kepada kelompok peniaga terbabit.
“Peniaga yang tidak pandai menggunakan aplikasi teknologi maklumat, mula belajar dan ia memberi satu rangsangan kepada mereka, namun ketika ini berilah sedikit kelonggaran dalam peraturan itu.
“Selepas ini mungkin boleh diperhalusi semula. Tambahan pula kos untuk membuat saringan dan suntikan tifoid itu dianggarkan mencecah hingga RM300,” katanya yang akan turut melancarkan platform Warung Digital bagi membantu peniaga makanan pada Ramadan ini.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, peniaga yang sudah membayar wang pendahuluan untuk tapak bazar Ramadan, akan menerima wang mereka hingga akhir bulan ini.
“Kita turut mencadangkan supaya wang pendahuluan itu dibawa ke tahun hadapan dan tidak menyusahkan semua pihak. Namun terpulang kepada peniaga untuk menerima cadangan berkenaan.
“Bagaimanapun, wang mereka akan dipulangkan hingga akhir bulan ini mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
SUNTIKAN TIFOID PRASYARAT PENTING