SUDAH sampai masanya institusi kewangan juga perlu menyumbang dalam bentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu pengguna terutama ketika berdepan situasi sukar.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, mengambil kira konteks perniagaan sejak puluhan tahun lalu, ini adalah kali pertama negara berdepan situasi sukar begini sehingga rakyat tidak dapat menjalankan rutin harian.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga, pengguna sebagai pendeposit menjadi tulang belakang kepada perniagaan institusi kewangan dan ‘jasa’ itu juga perlu dikenang dan berkongsi kesusahan dialami.
“Bukan lama pun, jumlah yang kita minta untuk moratarium juga tidaklah besar berbanding keuntungan sudah puluhan tahun.
“Beza kali ini bukanlah seperti pusingan kegawatan ekonomi seperti sebelum ini, tetapi keseluruhan kehidupan terjejas, jadi mereka patut lebih faham,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas saranan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mahu semua institusi kewangan terbabit melupuskan terus kadar faedah atau keuntungan bagi meringankan beban pengguna.
Katanya, PPIM juga sedang meneliti untuk memberikan penarafan kepada institusi kewangan seperti yang diadakan setiap tahun dan CSR ini salah satu daripada kriterianya.
“Bank juga harus ingat, pengguna gerakan kuasa pengguna begitu besar di negara ini. Jika tidak bantu, kita sebagai NGO pengguna akan memberi penarafan supaya pendeposit mengambil tindakan sewajarnya.
“Itu duit pendeposit, jadi sampai masanya mereka boleh membantu, bukan lama, enam bulan saja berbanding orang yang sudah meminjam untuk tempoh yang lama.
“Sekarang juga masih ada pinjaman berjumlah jutaan ringgit, jadi apa masalahnya kalau nak mansuhkan faedah hanya untuk tempoh tertentu,” katanya.
Artikel oleh: Metro Ahad
SAMPAI MASA INSTITUSI KEWANGAN BANTU PENGGUNA
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/574011/sampai-masa-institusi-kewangan-bantu-pengguna