CYBERJAYA – Program Zero Hunger telah membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk membantu golongan yang memerlukan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ketika ini sebanyak 15,000 individu di seluruh negara telah dibantu sejak program tersebut diperkenalkan.
Beliau berkata, program anjuran PPIM bersama Yayasan Brainy Bunch itu telah menerima kira-kira 100,000 permohonan daripada golongan memerlukan dan pihaknya sedang berusaha untuk membantu semua pemohon.
“Program Zero Hunger ini akan berterusan sepanjang masa. Jadi, sumbangan orang ramai amat diharapkan untuk kita terus membantu golongan memerlukan terutamanya di bulan Ramadan ini.
“Tidak kisah jumlahnya, sumbangan anda dapat berikan kelegaan kepada pemohon sumbangan,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pemandu e-hailing di sini hari ini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada dana Zero Hunger bagi membantu golongan memerlukan boleh berbuat demikian di laman www.sadaqahmarket.com.
Mengulas mengenai sumbangan itu, Nadzim berkata, 1,000 pek makanan sumbangan Gardenia akan diagihkan kepada pemandu e-hailing di sekitar Lembah Klang bermula hari ini sehingga esok.
“Untuk hari ini kita serahkan hadiah Ramadan (pek makanan) sebanyak 500 pek kepada pemandu e-hailing. Selebihnya 500 lagi akan bersambung esok. Industri e-hailing antara yang terkesan sekarang jadi, kita bantu mereka.
“Sedikit bantuan makanan ini bawa kegembiraan kepada mereka dan keluarga. Ini merupakan satu permulaan untuk kita bantu golongan ini, selepas ini mungkin kita akan bantu melalui kaedah lain pula.
“Kita mahu penggiat dalam sektor ini terbela nasib mereka. Kita akan bincang dengan Perkeso untuk lihat perlindungan sebagai persediaan untuk bantu mereka ketika keadaan memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil pemandu e-hailing, Nuridzuan Abdullah mengucapkan terima kasih kepada PPIM atas inisiatif mengedarkan pek makanan dan menjaga kebajikan para pemandu e-hailing.
“Kita harap terus mendapat sokongan PPIM, semasa PKP dikuatkuasakan pendapatan kami terjejas teruk kerana tiada pelanggan. Biasa sehari dapat RM200 namun, musim PKP hanya RM50.
“Cuma kami dapat menarik nafas lega apabila atas ihsan Grab yang membenarkan kami membuat “Grab Food” semasa PKP. -MT
Artikel oleh: Malakat Tribune
ZERO HUNGER: RM1 JUTA BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN
http://www.malakattribunenews.com/berita/berita-semasa/13544/