SHAH ALAM – Budaya konsumerisme yang dikaitkan dengan penggunaan atau pembelian barangan dan perkhidmatan di negara ini masih mampu bernafas walaupun pandemik koronavirus (Covid-19) memberi kesan kepada sektor ekonomi.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, Covid-19 memberi impak kepada budaya konsumerisme ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun keadaan itu mulai berubah.
“Keadaan kembali normal apabila peniaga sudah kembali memulakan operasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan berbanding terpaksa menutup kedai ketika PKP.
“Keadaan akan kekal begini dalam tempoh agak lama kerana Covid-19 tidak terhapus dengan mudah. Kita akan terus berada dalam keadaan ini dengan menggunakan pendekatan baru ini.
“Jika mahu berbelanja kena patuh SOP. Ia tidak terlalu menjejaskan budaya konsumerisme apabila orang ramai tetap berbelanja untuk mendapatkan barang keperluan mereka,” katanya dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, pandemik Covid-19 tidak ‘membunuh’ budaya konsumerisme sepenuhnya selepas kerajaan melonggarkan syarat kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka.
“Malah, penggunaan platform jualan dalam talian juga menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna bagi membeli barangan keperluan mereka sejak PKP dan berterusan sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengakui kesulitan dialami rakyat akibat pandemik Covid-19 berdasarkan aduan yang diterima pihak berkenaan sejak PKP dilaksanakan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat perlu terus bekerja bagi meneruskan kehidupan dan masa sama mencari kaedah baru dan terbaik untuk ‘bergerak’ dalam keadaan mencabar ketika ini.
“Impak daripada pandemik ini dirasai oleh semua rakyat apabila ada yang mahu bekerja namun tiada pekerjaan, kedai ada yang masih belum dapat dibuka dan ada juga yang masih tidak dapat untuk bekerja.
“Penjualan barang juga tidak laku, kekurangan barang kerana barang masih belum dapat diimport dan pelbagai perkara lagi. Jadi kita kena atasi perkara ini kalau tidak ekonomi akan terjejas teruk,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu sudah pasti menjejaskan budaya konsumerisme, namun ia boleh berubah sekiranya semua pihak bersatu dalam menggerakkan semula ekonomi negara menjadi lebih baik.
“Kita perlu ada kaedah untuk menghadapi cabaran ini. Kita kena mengkaji apa yang boleh dan tidak boleh lakukan untuk mengatasinya dan dalam masa sama meneruskan rutin (bekerja) sebelum ini.
“Kita kena gerakkan semula kalau tidak ia akan mengambil masa lama untuk memperbaiki keadaan ini kerana kesan pandemik ini akan memberikan kesan yang lama terhadap ekonomi,” katanya.
Katanya lagi, kitaran dalam budaya konsumerisme perlu berubah, peniaga dalam talian misalnya jangan memperdaya pengguna sehingga menyebabkan peniaga jujur turut terkesan dengan sikap segelintir mereka itu.
“Syarikat swasta atau kerajaan juga perlu mempercepatkan pembayaran kepada peniaga dalam sektor-sektor tertentu agar peniaga terbabit menjadi lebih produktif untuk meneruskan perniagaan.
“Akhlak kena berubah dan paling utama sikap peniaga itu sendiri perlu berubah. Kalau malas berusaha macam dahulu dibawa pada waktu sekarang maka sudah pasti mereka akan terus hanyut,” katanya.
Takut berbelanja
Sementara itu, seorang pembantu kedai runcit di Seksyen 15 Shah Alam, Norma Osman, 30, berkata, kesan PKP ke atas peniaga turut dirasai semua jenis perniagaan termasuk pengusaha bengkel dan lain-lain.
“Kebanyakan orang takut berbelanja tambahan kebanyakan mereka tinggal di kawasan ini adalah yang bergaji harian yang mereka cukup terkesan dengan PKP,” katanya mengakui pendapatannya tidak seberapa.
Bagi pengusaha bengkel kenderaan, Loke Siew Yuen, 46, kedainya ditutup sejak PKP berkuatkuasa dan selepas dibuka baru-baru ini pelanggan masih kurang kerana ramai takut untuk berbelanja ketika ini.
“Mereka datang kerana terpaksa, apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan teruk dan keadaan amat berbeza sebelum ini apabila setiap hari ada sahaja yang datang untuk servis kereta,” katanya.
Beliau berpandangan keadaan itu akan berterusan agak lama sekali gus akan menjejaskan pendapatan bulanan malah bimbang tidak mampu untuk membayar gaji lima orang pekerjanya pada masa depan.
Artikel oleh: Sinar Harian
BUDAYA KONSUMERISME TIDAK TERJEJAS