Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
ADA PEGUAM SEKONGKOL DENGAN AH LONG PINDAH ASET PEMINJAM – PPIM – MALAYSIA KINI – 31/10/2020
31 Oct 2020

 Tanda tangan borang kosong antara helah ah long bagi merampas aset milik peminjam yang gagal melunaskan baki pinjaman mereka.

Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa, lebih teruk lagi apabila perbuatan itu turut dibantu oleh firma guaman tertentu yang bersekongkol dengan ah long.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, berkata peguam berkenaan bertindak sebagai penasihat bagi memastikan proses menukar hak milik aset-aset peminjam berlaku dengan lancar.

“Suruh tandatangan kertas kosong bukan perkara baru, cara sedemikian sudah lama berlaku. Ada peguam yang bekerjasama dengan sindiket ah long supaya senang nanti hendak pindah milik rumah, kereta dan lain-lain milik mangsa.

“Sejak PKP, tambahan pula moratorium tamat pada September lalu, kes yang PPIM terima meningkat sehingga 40 peratus. Lebih teruk sebab mangsa yang terlibat tak berani nak melawan sebab ah long pun pakai peguam,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Nadzim Johan berkata, jumlah kes berkaitan penipuan ah long yang diterima Unit Banteras Ceti Haram PPIM ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati meningkat sehingga 40 peratus daripada kebiasaan.

Semalam, akhbar itu melaporkan, tindakan melulu peminjam ah long menandatangani borang perjanjian kosong tanpa mengetahui butirannya boleh memakan diri.

Akibatnya aset-aset berharga terutama rumah dan tanah tergadai walaupun nilainya lebih tinggi daripada pinjaman.

Nadzim menambah, terdapat juga kes peminjam secara sah memindahkan aset-aset kepada ah long meskipun menyedari baki hutang tidak setara dengan nilai kereta atau hartanah yang terpaksa dikorbankan.

“Apabila tak dapat bayar, ah long ugut bunuh dan sebagainya. Sebagai penyelesaian mereka terpaksa tukar hak milik aset-aset kepada nama ah long.

“Keadaan sebegini agak sukar kalau dibawa ke mahkamah. Sebab mangsa yang berbuat demikian. Tetapi ada beberapa kes yang kita lawan, menang juga akhirnya. Jadi jangan takut untuk dapatkan hak kembali,” katanya lagi.

Artikel oleh: Malaysia Kini

ADA PEGUAM SEKONGKOL DENGAN AH LONG PINDAH ASET PEMINJAM

https://www.malaysiakini.com/news/548836