KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan akta halal bagi tindakan kawal selia dan melindungi industri halal ini secara holistik.
Ketua Aktivisnya, Dato’ Nadzim Johan berkata, akta ini perlu dilaksanakan bagi menambah baik akta sedia ada.
“Sudah tiba masanya kita (Malaysia) mempunyai akta halal sendiri. Negara kita tidak ada akta halal. Kita hari ini hanya berdasarkan Akta Perihal Dagangan. Akta sedia ada memang tiada masalah, tetapi perlu yang lebih seragam antara kementerian dan agensi berkaitan.
“Kita pernah minta sebelum ini. Sedangkan di Amerika pun ada akta halal untuk pengguna Islam di sana,” katanya pada bual bicara Harakah bertajuk ‘Kartel Daging Haram: Di Mana Silapnya?’ di sini, malam tadi.
Menurutnya, tujuan utama adalah supaya industri halal negara mendapat perlindungan yang lebih baik.
“Sebagai contoh, sebuah lori yang sama membawa ayam sedangkan sebelum itu lori berkenaan membawa babi. Perkara ini tidak menjadi satu kesalahan kerana kita tiada akta untuk mensabit kesalahan itu. Benda ini sangat serius.
“Kita mahukan negara berterusan dikenali sebagai sebuah negara yang pensijilan halalnya dihormati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nadzim turut menggesa pihak penguat kuasa terus membuat pemantauan terhadap kilang atau tempat simpanan daging import bagi mengenal pasti status halalnya.
Menurutnya, usaha itu perlu dilakukan bagi mengatasi kebimbangan yang sedang dialami rakyat susulan pendedahan yang berlaku ini.
“Penipuan begitu rancak belaku di luar sana. Jadi, dalam isu ini perlu mencari kaedah bagaimana untuk mengatasi kerana dengan timbulnya isu ini, rakyat menjadi bimbang untuk makan daging,” katanya.
Justeru, beliau turut menasihati para pengguna supaya lebih berhati-hati dalam memilih produk makanan serta pemilihan kedai makan supaya tidak mudah tertipu.
Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan pihaknya akan meneruskan siasatan bagi membongkar isu penyeludupan bekalan daging tanpa pengesahan halal ke negara ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid berkata, pemantauan secara berterusan akan dijalankan dan serbuan akan dilakukan tanpa sebarang notis.
Sementara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato’ Huzir Mohamed, berkata polis percaya bahawa kegiatan kartel daging import disyaki menggunakan label halal palsu itu membabitkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.
Artikel oleh: Harakah Daily
WUJUDKAN AKTA HALAL SEGERA – PPIM
https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/31/wujudkan-akta-halal-segera-ppim/