HAMZAH (tiga dari kanan) ketika sidang media Tonto Paling Berkuasa di Sembang Sembang Cafe Villa Putri, Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur: “Kapar Klang, bermula dari pukul 2 petang, tak mau angkat barang berat. Tolong panjang-panjangkan. Anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) 307 kena pukul dengan escort. Tolong viralkan, operasi kaw-kaw.”
Begitu bunyi pesanan suara milik seorang tonto yang menyerang pegawai penguat kuasa JPJ ketika menjalankan tugas selain mengancam keselamatan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, sepasukan penguat kuasa sedang memantau pergerakan kenderaan berat keluar masuk di Kapar, Klang, didatangi tonto kemudiannya melakukan provokasi menghalang pegawai terbabit menjalankan tugas.
Mendedahkan perkara itu menerusi satu sidang media khas semalam, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri berkata, itu antara cabaran diterima pihaknya dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya di negara ini.
Katanya, bukan itu saja, pelbagai helah licik digunakan sindiket termasuk mengubah suai sistem lori, memantau pergerakan anggota dan penguat kuasa JPJ serta mengekori mereka pulang ke rumah dengan niat memberikan ancaman.
Katanya, KPPJSM meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi lebih kuasa dan ruang kepada pegawai penguat kuasa semua agensi khususnya JPJ bagi membolehkan mereka menjalankan tugas pada tahap paling maksimum.
“Kita juga minta supaya kuasa menahan, mendakwa dan menangkap jika diekori diperuntukkan bagi memastikan anggota kita sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan dan bertugas dengan lebih baik,” katanya pada satu sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Hadir sama Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, Pengerusi Yayasan Patriot Negara (YPNM) Datuk Husainy Hashim dan Pengasas Eratkan Pertubuhan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO) Ariffin Abu Bakar.