Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM400,000 bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Timbalan Presidennya Norsyahrin Hamidon berkata, sumbangan yang diterima menerusi tabung Misi Bantuan Banjir itu akan dihantar kepada penerima selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
“Selain sumbangan daripada kalangan usahawan, DPMM turut menerima sumbangan daripada orang awam melalui kempen yang dilaksanakan di media sosial selain sokongan daripada beberapa selebriti tanah air.
“Inisiatif kali ini bukan saja tertumpu kepada sumbangan makanan dan pakaian, malah peralatan elektrik seperti mesin basuh.
“DPMM memahami kerumitan mangsa banjir yang kehilangan harta benda akibat bencana itu, apatah lagi ketika berdepan pandemik Covid-19 dan PKP. Maklumat mengenai kesukaran mangsa dikumpul oleh ahli DPMM di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norsyahrin berkata, DPMM turut menerima sokongan kuat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau berkata, pembabitan APM adalah sejajar peranan agensi itu sebagai pasukan barisan hadapan dalam menghadapi bencana sekaligus memudahkan usaha mengenal pasti golongan yang perlu dibantu.
“APM akan turut bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Bencana Daerah bagi mengenal pasti golongan memerlukan.
“DPMM mengharapkan sumbangan dapat dihantar kepada penerima selepas PKP berakhir dan ketika ini DPMM masih membuka tabung sumbangan kepada orang ramai,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan melalui akaun Maybank bernombor 564324137896 dengan menulis rujukan Misi Bantuan Banjir atau melalui laman web https://sumbangan.com/DPMM/BanjirDPMM.
Artikel oleh: Harian Metro
DPMM KUMPUL DANA BANTU MANGSA BANJIR SELURUH NEGARA