Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM FAIL PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN TERHADAP KKM – MALAYSIA GAZETTE – 27/04/2021
28 Apr 2021

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah (KP) Kesihatan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan memfailkan semakan kehakiman itu dibuat berikutan permohonan bertarikh 20 Januari lalu tidak mendapat maklum balas secara rasmi daripada kementerian berkenaan.

Menurutnya, terlalu banyak pertanyaan dari rakyat yang tidak dijawab oleh KKM menyebabkan PPIM mengambil tindakan sedemikian.

“Jadi kita sebagai suara pengguna datang bersama-sama hari ini dengan barisan peguam dan doktor untuk bawa suara ini kepada mahkamah. Kita minta mahkamah beri arahan kepada pihak KKM untuk membantu menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan oleh rakyat.

“Kita rasa perkara ini bukan lah sesuatu yang luar biasa kerana kita minta jawapan bukannya kita minta duit. Rasanya rakyat berhak dan mengikut Perlembagaan Persekutuan pun kita ada hak untuk dapat jawapan.

“Kita harap ini merupakan satu isyarat bahawa rakyat memerlukan sokongan, jawapan bukan sahaja daripada KKM sahaja tetapi juga dari agensi-agensi lain,” katanya pada sidang media di lobi mahkamah di sini hari ini.

Permohonan secara sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan melalui Tetuan Rizal Abdullah & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, KKM dan KP Kesihatan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Empat individu selaku pemohon itu adalah Bendahari PPIM, Tengku Faedzah Raja Fuad, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. A.Roland Victor dan Dr. Sani Ashari.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, pemohon-pemohon mendakwa mereka terkesan daripada tindakan responden-responden terutamanya responden ketiga yang enggan menjawab kepada pertanyaan yang dibangkitkan oleh pemohon pada satu surat yang ditulis pada 20 Januari 2021.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, komunikasi yang baik perlu wujud di antara kerajaan dan rakyat supaya apa sahaja maklumat penting dapat disampaikan kepada orang ramai secara telus.

Dalam masa sama, beliau berharap tindakan semakan kehakiman yang dikemukakan itu akan mengubah perspektif KKM dalam menemukan solusi bagi menangani pandemik Covid-19 yang sedang membelenggu rakyat.

“Kalau mahkamah terima, terima lah. Kita buat apa yang patut dibuat, lepas itu kita serahkan kepada mahkamah, sekurang-kurangnya kita telah selesaikan bahagian kita,” ujarnya.

Sementara itu, peguam, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, terdapat empat pemohon yang memfailkan semakan kehakiman berkenaan dengan tiga antaranya merupakan doktor yang merasakan rakyat perlu mendapat jawapan seperti dimahukan.

“PPIM telah mengambil inisiatif untuk memfailkan semakan kehakiman kerana surat yang dihantar kepada KKM tidak dijawab dan soalan-soalan yang ditanya juga adalah relevan kerana Covid-19 ini merupakan isu satu dunia.

“Banyak persoalan itu berkisar antaranya ujian itu sendiri apakah keberkesanan ujian itu, bagaimanakah ujian itu dilakukan, kenapa di ‘declare’ sebagai pandemik dan sebagainya. Semua ini adalah perkara-perkara rakyat perlu tahu, jadi PPIM mengambil langkah ini kerana ramai yang datang bertanyakan soalan.

“Selepas ini saya percaya semakan yang difailkan oleh Tetuan Rizal Abdullah & Co ini akan diserahkan kepada pihak berkenaan mungkin esok selepas dapat daripada mahkamah membabitkan KKM dan KP Kesihatan,” katanya. – Malaysia Gazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM FAIL PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN TERHADAP KKM

https://malaysiagazette.com/2021/04/27/ppim-fail-permohonan-semakan-kehakiman-terhadap-kkm/