Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
20,000 ASNAF DIKENAL PASTI UNTUK TERIMA DAGING KORBAN – UTUSAN MALAYSIA – 01/07/2021
02 Jul 2021

KUALA SELANGOR: Masyarakat Islam di negara ini khususnya di Selangor tidak lagi perlu risau untuk mendapatkan sumber bekalan daging lembu dan kambing yang halal berikutan pembukaan sebuah ladang penternakan baharu haiwan sumber makanan itu di sini.

Inisiatif itu diambil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Amal Care yang menyediakan tanah seluas empat ekar kini menempatkan 315 ekor lembu, 200 ekor kambing dan seekor unta.

Malah, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, pertubuhan itu menyasarkan edaran daging korban kepada 20,000 keluarga asnaf di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak apabila menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mahu melaksanakan ibadah itu.

Kemudahan itu dimaklumkan Penaung Sahabat Amal Care, Asma’ Harun yang kini menyasarkan 400 ekor lembu dan kambing untuk dijadikan haiwan korban dan diedarkan kepada golongan asnaf di seluruh negara.

“Untuk ibadah korban kita sediakan 400 ekor bagi lembu dan kambing, jadi lebih kurang dalam 800 ekor.

“Setakat ini ibadah korban 200 ekor lembu sudah ditempah, begitu juga kambing, bila kita sudah capai sasaran, Alhamdulillah sekarang kita letakkan sasaran baharu iaitu 20,000 penerima dan sehingga hari ini masih lagi menerima permohonan orang untuk menyertai ibadah korban,” katanya dalam lawatannya dekat ladang itu di Kampung Sungai Yu di sini.

Beliau menambah, inisiatif itu diambil bagi membantu masyarakat Islam mendapatkan bekalan daging dan sembelihan halal selepas wujud kerisauan terhadap isu daging halal ekoran pendedahan kartel daging import yang diragui.

“Pada November tahun lepas ada isu hangat berkenaan kartel daging. Selepas itu, saya terlibat secara tidak langsung dengan isu terbabit dengan mengulasnya bersama Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berdasarkan sumber maklumat yang boleh dipercayai.

“Hasil daripada itu, pada Disember, timbul rasa kesedaran dan tanggungjawab bersepakat untuk bina ladang ternak supaya dapat bekalkan sumber daging halal kepada masyarakat Islam di negara ini dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran,” jelasnya.

Justeru, beliau menyarankan masyarakat Islam yang ingin mendapatkan lembu atau kambing bagi tujuan ibadah korban boleh menghubungi Sahabat Amal Care menerusi Facebooknya atau hubungi 0111-2090 3735.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

20,000 ASNAF DIKENAL PASTI UNTUK TERIMA DAGING KORBAN

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/20000-asnaf-dikenal-pasti-untuk-terima-daging-korban/