RAWANG – Sebanyak 5,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu mendapat bantuan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom memberitahu, menerusi kempen Tabung YBK Prihatin yang dilancarkan pada Julai lalu, usaha tersebut diteruskan dengan menyerahkan kotak infaq rezeki kepada golongan yang terkesan.
Kotak tersebut yang mengandungi barang-barang keperluan asas makanan seperti beras, telur, tepung, minyak, gula, bihun, garam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM70 sekotak.
“YBK menerima lebih 3,000 permohonan dari seluruh negara sejak ia dilancarkan pada Julai lalu, namun edaran sumbangan tidak dapat dijalankan kerana larangan merentas negeri dan daerah,” kata beliau.
Sehubungan itu, pihaknya mengambil inisiatif bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang terpilih di setiap negeri dan daerah yang tidak dapat dilaksanakan oleh YBK.
“Badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti MyFundAction, Yayasan FoodBank Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut membantu YBK untuk sumbangan kali ini,” katanya pada sidang media Program Edaran Sumbangan YBK Prihatin di Dewan Komuniti Apartment Kenanga, Bukit Beruntung, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Zainal Abidin yang turun padang ketika program tersebut turut menyampaikan sumbangan kotak infaq rezeki kepada 50 keluarga di apartmen tersebut, di sekitar Hulu Selangor iaitu Serendah (27 keluarga) dan di Gesir (73 keluarga).
Ujarnya, keluarga-keluarga tersebut dikesan melalui NGO di kawasan tersebut untuk mendapatkan senarai penerima yang layak dibantu.
“Kita juga membuka peluang kepada para aktivis dan sukarelawan untuk menghubungi YBK bagi memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong inisiatif ini kerana sudi menyalurkan bantuan ke dalam tabung tersebut,” katanya.
Salah seorang penerima kotak infaq rezeki, Salmah Kassim, 41, bersyukur kerana bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban suaminya yang mencari rezeki demi keluarga.
Salmah yang hamil tiga bulan anak ketujuh memberitahu, suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak dapat membuat kerja sambilan lain seperti berkebun seperti kelaziman kerana pandemik Covid-19.
“Sebelum ini, suami boleh melakukan kerja-kerja sambilan lain seperti berkebun tapi sebab Covid-19, dia hanya boleh menumpukan satu pekerjaan.
“Begitu juga anak-anak yang menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terpaksa berkongsi telefon kerana tidak mempunyai telefon pintar yang mencukupi,” kata suri rumah itu.
Sementara itu, penerima lain, Noor Hani Asmara, 39, memberitahu, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori berkurang sebanyak 50 peratus akibat Covid-19 sekali gus menjejaskan perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
Noor Hani berkata, keadaan bertambah buruk apabila dia tidak boleh keluar rumah membeli barang keperluan makanan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini pada Julai lalu kerana tidak mahu mengambil risiko kesihatan anaknya yang menghidap asma.
“Awal bulan Julai lepas, kami sekeluarga tidak cukup wang dan suami tidak dapat bekerja kerana PKPD di seluruh Selangor ketika itu.
“Nak beli makanan pun susah kerana anak saya menghidap asma, jadi agak berisiko untuk keluar rumah pada waktu itu,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Artikel oleh: Sinar Harian
YBK BANTU 5,000 KELUARGA TERJEJAS PANDEMIK COVID-19