KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pemimpin yang dilantik menerajui negara membawa agenda menyatupadukan Melayu, bumiputera serta memperkasakan umat Islam dalam segenap segi.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, siapa pun yang bakal dilantik harus mengutamakan agenda tersebut demi kelangsungan rakyat.
Selain itu, dinamik antara bakal Perdana Menteri dan timbalannya serta menteri Kabinet lain juga seharusnya diperkukuh demi kebaikan rakyat.
“Sesiapa juga yang memimpin negara ini nanti seharusnya seorang yang berpegang teguh pada ajaran Islam dan mempunyai prinsip untuk memperkasakan Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini sambil mengesahkan Ismail Sabri telah mendapat pencalonan daripada 114 ahli Dewan Rakyat pada Rabu lalu dan jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Susulan itu, lstiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan di lstana Negara, 2.30 petang esok.
Dalam pada itu, Nadzim juga berkata kemelut politik negara kini menjadikan rakyat dahagakan pemimpin paling sesuai untuk mentadbir serta membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang.
“Dalam tempoh tiga tahun sahaja kita sudah bertukar kerajaan sebanyak tiga kali dan setiap kali pertukaran itu rakyat dapat menilai pemimpin manakah yang benar-benar bekerja demi rakyat atau yang lebih mengutamakan politik semata-mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
PPIM MAHU PM BAHARU BAWA KESTABILAN POLITIK DEMI RAKYAT – NADZIM