ALOR SETAR – Seramai 100 pemandu teksi dan kereta sewa di daerah ini menerima sumbangan kotak makanan di bawah program Jelajah Sumbangan Infaq Rezeki Utara 2021.
Ketua Unit Cawangan Bahagian Sumber Manusia Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Mohd Razmi Khalid berkata, sumbangan itu adalah hasil kerjasama beberapa agensi antaranya Persatuan Penguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin.
Beliau berkata, program yang dianjurkan sempena sambutan Jubli Emas ke- 50 tahun Perkeso itu telah menjelajah ke tiga lokasi sebelum ini iaitu di Georgetown,Pulau Pinang; Kangar,Perlis dan Langkawi.
“Fokus kita adalah kepada pemandu teksi dan kereta sewa kerana mereka adalah golongan yang mencarum dengan Perkeso dan terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan berkenaan di Shahab Perdana di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri Kedah, Mohamad Haron Othman.
Menurutnya, pihaknya sudah mengagihkan sebanyak 600 kotak makanan sepanjang program jelajah di utara ini dan akan meneruskan program terbabit ke negeri- negeri di selatan pada bulan hadapan.
Dalam pada itu, Mohd Razmi menasihatkan semua golongan yang bekerja sendiri termasuk pemandu teksi dan kereta sewa agar terus mencarum dengan Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
“Ini untuk memastikan agar mereka serta orang tanggungan mendapat manfaat oleh Perkeso sekiranya berlaku bencana kerja,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
100 PEMANDU TEKSI, KERETA SEWA TERIMA KOTAK MAKANAN