Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NAMA MALAYSIA ‘BUSUK’ AKIBAT SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA, KATA PPIM – FREE MALAYSIA TODAY – 10/11/2021
11 Nov 2021

KUALA LUMPUR: Isu pemerdagangan manusia yang berlaku di negara ini akibat kemasukan pendatang asing tanpa izin melalui sindiket menjadi kudis sehingga merosakkan imej negara.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, berkata Malaysia akan dipandang rendah di persada antarabangsa jika kekurangan penguatkuasaan terhadap isu pemerdagangan manusia.

“Kita dipandang rendah di pihak dunia, baru-baru ini ada isu yang disebut oleh kerajaan antarabangsa yang seperti mendakwa negara kita mengamalkan perdagangan manusia.

“Kita lihat keadaan ini tidak deregulasi dengan betul kerana peranan sindiket yang cukup luar biasa, penglibatan urus tadbir pekerja asing ini ada kelompongan, jadi di sini kerajaan harus main peranan penting,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, terdapat aduan pekerja asing yang memasuki Malaysia menerusi sindiket itu ditabur dengan segala “janji manis”, namun selepas ribuan ringgit berhabis untuk memasuki negara ini, layanan diterima tidak seperti diharapkan.

“Sindiket yang melakukan urusan ini mendapat sumber kewangan cukup besar daripada pekerja (warga asing) ini yang sebenarnya kita tahu mereka ini susah, kena jual tanah, rumah nak datang ke mari (Malaysia).

“Datang sini dengan pelbagai janji tertentu, tetapi selepas itu dapat gaji kurang, kemudahan tiada, yang sakit dibiar begitu saja,” katanya.

Nadzim berkata, bukan saja masalah pemerdagangan manusia, negara juga berdepan kerugian dari segi kutipan hasil cukai disebabkan sindiket kemasukan warga asing yang berselindung di sebalik syarikat tempatan, telah mengaut keuntungan berbilion ringgit.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Mohd Fakhrunizam Ibrahim, menggesa kerajaan mengkaji semula kelulusan diberikan kepada syarikat swasta untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing.

Katanya, kerajaan sepatutnya menggunakan tenaga kerja warga asing sedia ada, seramai hampir tiga juga dalam negara ketika ini, serta warga tempatan daripada membawa masuk buruh asing yang baharu.

“Daripada kita mengambil pekerja asing luar negara yang baru, lebih baik gunakan tenaga kerja warga asing yang sedia ada di negara kita,” katanya.

Artikel oleh: Free Malaysia Today

NAMA MALAYSIA ‘BUSUK’ AKIBAT SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA, KATA PPIM

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/10/nama-malaysia-busuk-akibat-sindiket-pemerdagangan-manusia-kata-ppim/?fbclid=IwAR1oWVqqSZuWqG9FNDqHW7uM1gclPFM9Pc8LHM-pczoYtascdmxxS3coyNQ