BANGI, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Biarpun kadar kes jangkitan harian COVID-19 masih belum turun daripada empat angka, Malaysia bagaimanapun sedang melalui fasa pemulihan atau endemik ke arah kembali kepada kehidupan normal dengan pelbagai kelonggaran dibenarkan.
Sejak Oktober lalu, pelbagai sektor khususnya ekonomi, pelancongan termasuk sukan dan hiburan sudah kembali rancak beroperasi seperti biasa dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).
Walaupun kelonggaran itu ‘melegakan’ rakyat, namun masih timbul tanda tanya terhadap pelaksanaan SOP ke atas aktiviti masjid khususnya solat berjemaah yang dilihat seperti tidak adil.
Lebih menghairankan apabila perbezaan kelonggaran SOP itu dilihat ketara ketika perlawanan bola sepak antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City baru-baru ini, sedangkan masjid masih ‘diikat’ dengan pematuhan saf berjarak 1.0 hingga 1.5 meter antara jemaah.
Atas sebab itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji semula penguatkuasaan SOP di semua premis supaya tidak dilihat sebagai satu ‘jenaka’.
“Jelas kini pihak KKM seolah-olah sedang mempersendakan SOP yang telah ditetapkan dalam menentukan jarak ‘saf bola dan saf untuk solat’.
“Ia umpama virus ini hanya akan berkunjung ke masjid-masjid dan surau-surau dan tidak berminat untuk menghadirkan diri di tempat-tempat awam lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bukan hanya di stadium, PPIM berkata, perbezaan pelaksanaan SOP itu juga dilihat turut berlaku di dalam pesawat penerbangan, pasaraya dan pusat membeli-belah.
“Namun, keadaan tidak pula di masjid-masjid kerana pihak jawatankuasa bertegas menguatkuasakan SOP dan masih selesa dengan saf-saf yang berjarak 1.0 hingga 1.5 meter antara jemaah.
“Rakyat kini bosan dengan keadaan ini dan pihak kerajaan seolah-olah tidak begitu teliti dan peka terhadap perbezaan dari sudut layanan terhadap beberapa keadaan, terutama yang melibatkan aktiviti boleh merangsang ekonomi,” katanya.
PPIM berkata, masjid dan tempat ibadat mungkin disifatkan sebagai tempat yang tidak memberikan apa-apa manfaat ekonomi, maka disebabkan itu SOP berkenaan perlu ketat kerana ia tidak memberi kesan ketara.
“Jikalau inilah sikap kerajaan maka ia adalah amat menyedihkan dan boleh dianggap bahawa pihak berkuasa terus memperkecilkan institusi kerohanian sebagai satu sumber penyelesaian yang paling ampuh untuk wabak ini dan lakonan sandiwara COVID-19 ini perlu dihentikan segera,” katanya.
Artikel oleh: Ismaweb
HENTI SEGERA ‘SANDIWARA’ SOP DI MASJID!: PPIM
https://ismaweb.net/2021/12/08/henti-segera-sandiwara-sop-di-masjid-ppim/