Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SERAH MEMORANDUM PENGELUARAN KWSP RM10,000 MELALUI NAJIB – MALAYSIA POST – 11/01/2022
14 Jan 2022

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara ‘one-off’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penyerahan memorandum itu dibuat melalui Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak di hadapan pejabat Najib di Bukit Pantai di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengerusi PPIM Datuk Nadzim Johan, berkata tuntutan tersebut dibuat kerana  masih ramai lagi pencarum termasuk peniaga kecil yang masih belum mendapatkan pekerjaan stabil  serta membangunkan semula perniagaan, susulan terkesan pandemik.

“Tuntutan ini bukan kerana banjir tapi kerana PKP yang berlarutan selama dua tahun.

“Ramai pekerja yang tinggal separuh gaji dan tak dapat gaji, (usahawan) IKS ‘bungkus’ dan ramai di antara mereka jadi penganggur.

“Kalau saya cakap banjir kerajaan akan kata ini isu banjir nak buat apa keluar KWSP,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Nadzim berkata, beliau menganggarkan seramai lapan hingga sembilan juta pencarum yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP sebelum ini.

Malah, katanya, lebih daripada 50,000 orang yang menandatangani melalui petisyen dalam talian menyokong pengeluaran RM10,000 secara sekali bayar.

Jelasnya, memorandum itu dihantar melalui Najib kerana bekas perdana menteri itu sering menggesa supaya pengeluarkan itu dibenarkan melalui Facebooknya

“Setiap hari di FB page Datuk Seri Najib banyak komen-komen mengenai pengeluaran one-off RM10,000,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon mana-mana pihak sama ada kerajaan atau kesatuan sekerja untuk tidak berterusan menggunakan alasan simpanan hari tua berhubung permohonan pengeluaran wang dalam KWSP i-Citra RM10,000.

Beliau berkata, situasi pasca PKP hakikatnya amat sukar bagi kebanyakan rakyat, apatah lagi yang hilang punca pendapatan akibat diberhentikan, dicutikan tanpa gaji, dipotong gaji dan perniagaan yang tidak menjadi sejak awal tahun lalu. – Malaysiapost

Artikel oleh: Malaysia Post

PPIM SERAH MEMORANDUM PENGELUARAN KWSP RM10,000 MELALUI NAJIB

https://malaysiapost.com.my/2022/01/11/ppim-serah-memorandum-pengeluaran-kwsp-rm10000-melalui-najib/