Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
17 SYOR ATASI MASALAH BANJIR [METROTV] – HARIAN METRO – 27/01/2022
28 Jan 2022

Kuala Lumpur: Sebanyak 17 syor jangka masa pendek, sederhana dan panjang akan dikemukakan kepada kerajaan bagi mengatasi masalah banjir.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya bersama Persatuan Usahawan Rekacipta dan Inovasi Malaysia (Purim) akan menghantar Memorandum Syor Cadangan Bagi Mengatasi Banjir kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

NORSHAHRIZAL Nordin menunjukkan Memorandum Cadangan Dan Syor Tindakan Jangka Pendek, Sederhana Dan Panjang. FOTO Azhar Ramli

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan berkenaan banjir dan ramai yang tampil memohon bantuan.

Menurutnya, PPIM juga tampil dengan syor mengenai bagaimana untuk mengelakkan atau meminimumkan kesan bencana yang berlaku saban tahun itu.

“Kerajaan sudah pun membuat banyak projek tebatan banjir, mendalamkan sungai, membesarkan parit, sistem amaran banjir dan bermacam-macam lagi.

“Sehubungan itu, PPIM sudah berbincang dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Purim untuk memberikan idea baru dan langkah untuk mengatasi masalah banjir ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Purim Norshahrizal Nordin dan wakil penduduk Shah Alam, Datuk Ahmad Muadzam Shah Yaakop.

Sementara itu Norshahrizal berkata, antara cadangan jangka masa pendek itu termasuklah melakukan pembenihan awan pintasan di laluan angin ribut tropika.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan mengesyorkan penggunaan sistem amaran aras air secara khidmat pesanan ringkas di kawasan perumahan berisiko mengalami banjir.

“Melalui memorandum ini, kita harap kerajaan memberi perhatian untuk mengubah beberapa dasar yang berkaitan demi kebaikan bersama.

“Kita juga minta kerajaan mempertimbangkan penubuhan unit khas di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai perkara ini.

“Selain itu kita juga minta kerajaan babitkan peranan NGO seperti kami untuk sama-sama membantu bukan hanya memberi idea, tetapi pelaksanaan yang sesuai agar isu banjir ini dapat kita uruskan dengan sebaiknya,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

17 SYOR ATASI MASALAH BANJIR [METROTV]

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/01/804396/17-syor-atasi-masalah-banjir-metrotv