PETALING JAYA: Harga barang naik setiap kali musim perayaan. Itulah senario yang berlaku dalam negara di mana peniaga didakwa mahu mengaut keuntungan semaksimum mungkin ketika permintaan barangan meningkat.
Ini membawa kepada persoalan siapa menjadi ‘tangan ghaib’ mengawal bekalan barangan mentah seperti telur, sayur, ayam dan minyak. Ia sekali gus mencerminkan kegagalan pihak berkuasa mencantas monopoli bekalan barang yang mendapat permintaan tinggi pada setiap kali musim perayaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dasar kerajaan yang tidak mampu berbuat apa-apa dengan kenaikan harga barang seolah-olah berat sebelah sehingga ‘menganiaya’ rakyat yang terpaksa menerima kenaikan harga menjelang setiap kali raya.
Menurut beliau, isu barang mahal bukan tahun ini sahaja berlaku tetapi setiap tahun lebih-lebih lagi melibatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Kata Nadzim, tidak pernah berlaku harga barang menjadi murah apabila menjelang musim perayaan.
“Harga barang naik dengan alasan tiada stok dan perkara tersebut terbukti secara bermusim. Catuan bekalan adalah satu cara untuk menaikkan harga. Musim perayaan, harga mesti naik. Pengguna akan terus mengalami nasib ini kerana tiada dasar baharu yang lebih adil diwujudkan oleh kerajaan.
“Polisi kerajaan tidak bijak malah penguatkuasaannya juga lemah. Sementara itu, kita ada pula kartel yang mengambil kesempatan atas loophole yang berlaku,” kata beliau ketika dihubungi.
Nadzim berkata, sehingga hari ini tiada pihak penguat kuasa yang bersungguh untuk menghapuskan ‘tangan ghaib’ yang menjadi punca bekalan barangan mentah terhad dan mahal.
“Kesan terbaru kini menjelang Tahun Baharu Cina 1 Februari ini, macam-macam harga barang naik. Yang terkesan semua bukan sahaja untuk kaum Tionghua,” kata beliau.
Hal itu, menurut beliau, diburukkan lagi apabila pihak berkaitan pula seperti tidak pernah bergerak untuk memastikan sekuriti makanan kepada rakyat mencukupi berbanding memilih untuk terus mengimport barangan mentah.
Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati sejak seminggu lalu, rakyat kembali mengeluh dan mengadu apabila sukar membeli minyak paket bersubsidi dan telur.
Bukan itu sahaja, harga sayur-sayuran termasuk cili besar dan cili kecil terus melonjak.
Harga kentang jika sebelum ini boleh dibeli dengan RM2 sekilogram kini terpaksa dibayar dengan RM4.50 untuk sekilogram.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga bersetuju dengan masalah peniaga yang dilihat sengaja mencekik darah menjelang musim perayaan.
Menurutnya, peniaga seolah-olah mengamalkan dasar seperti perlu membuat untung sebanyak yang boleh apabila tiba musim raya kerana selepas itu keuntungan yang diperoleh hasil perniagaan tidak sebanyak pada musim raya.
“Isu harga mahal musim raya perkara biasa. Bukan sahaja barang mentah tetapi kini sudah ditiru oleh peniaga-peniaga kedai makanan di restoran mahupun peniaga tepi jalan,” kata beliau.
Kata Jacob, pada musim raya individu yang membeli makanan di restoran atau kedai makan biasa perlu bersedia membayar harga berganda bagi setiap makanan yang dibeli.
“Peniaga restoran beli alasan mereka beli barang mentah mahal sedangkan pihak kerajaan telah memantau. Selain itu, mereka juga memberitahu perniagaan mereka dibuka pada hari raya yang ketika semua orang bercuti tetapi mereka terus memilih untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
HARGA BARANG NAIK SETIAP KALI PERAYAAN
https://www.utusan.com.my/terkini/2022/01/harga-barang-naik-setiap-kali-perayaan/