AMARAN kepada masyarakat pengguna terutama orang-orang Melayu!
Berjaga-jagalah dengan taktik terbaharu para pemberi pinjaman haram atau Ahlong yang menawarkan dengan skim pinjaman untuk dibayar balik dengan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengesan taktik licik Ahlong ini yang cuba mengambil peluang untuk mengaut keuntungan dengan memerangkap pengguna-pengguna terutama mereka yang telah kehilangan sumber pendapatan atau mengalami kemerosotan perniagaan.
“Mereka menawarkan seolah-olah merekalah institusi-institusi kewangan profesional atau menggunakan nama perempuan Melayu – satu taktik untuk memikat pelanggan Melayu yang sering terkait dengan gejala kesuntukan dan bermasalah kewangan.
“PPIM memandang serius perkara ini kerana dalam keadaan biasa pun ramai yang terperangkap dengan taktik pinjaman ini apatah lagi jika ada sandaran kewangan daripada pengeluaran KWSP untuk membayarnya balik.
“Sudah tentu mereka dikenakan dengan kadar bunga yang berlipat ganda dan tidak munasabah,” lapor satu siaran media oleh PPIM, hari ini.
PPIM juga menasihatkan para pengguna Islam supaya tidak sesekali terpedaya dengan iklan-iklan oleh Ahlong-Ahlong ini dan cubalah mencari banyak kaedah lain untuk menyelesaikan masalah kewangan.
“Iklan yang dipaparkan itu seolah-olah sama dengan yang ditawarkan institusi-institusi kewangan yang berlesen, cuma mereka memberikan kelonggaran bayar balik yang amat ketara sedangkan kadar faedahnya masih ‘melangit’,” lapor siaran itu lagi.
PPIM selain itu menyarankan kerajaan agar serius dalam menimbangkan permintaan para pencarum KSWP yang kini menghadapi masalah kewangan untuk meluluskan pengeluaran wang simpanan mereka sekali gus mencegah mereka daripada perangkap Ahlong.
Kementerian Kewangan tegas persatuan, wajar memberikan pertimbangan khusus kepada kebenaran pengeluaran itu kerana rata-rata pengguna Islam masih merupakan antara yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.
Artikel oleh: Bebas News
AWAS TAKTIK AHLONG PANCING PENCARUM KWSP
https://bebasnews.my/2022/02/06/awas-taktik-ahlong-pancing-pencarum-kwsp/