SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan beberapa sebab penolakan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) antaranya surat persetujuan untuk vaksinasi tidak diberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa kerajaan melepaskan tanggungjawab yang seharusnya membela nasib rakyat.
“Sebagai contoh, tiada pampasan jika berlaku kematian dan kesan sampingan selepas menerima vaksin Covid-19.
“Selain itu, selepas dua tahun pandemik, kerajaan tidak mampu mengurangkan jumlah kes Covid-19, malah jumlah kematian dengan kes kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang tinggi menggambarkan vaksin berupaya memainkan peranan ‘genocide’,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Sebab seterusnya, mereka berkata, rakyat dijanjikan ‘istilah herd immunity’ dengan pengambilan Covid-19 bermula dos pertama, kedua dan kini dos penggalak, namun ia seolah-olah satu tipu daya.
“Semua ini terbukti tidak berupaya untuk bertindak sebagai membantu sistem imun, malah masih terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sama. Paling malang, mengakibatkan ratusan ribu yang terkesan sampingan yang serius.
“Kerajaan juga menabur janji-janji palsu dengan menguar-uarkan dalam iklan televisyen dan sosial media yang mengatakan vaksin itu selamat. Apabila berlaku kematian dan AEFI, kesannya merangkumi perpecahan keharmonian keluarga.
“Rakyat kini sedia maklum yang keseluruhan program vaksin selama dua tahun ini merupakan ‘eksperimental vaksin ke atas manusia’. Ia satu jenayah, perbuatan yang tidak beretika dan melanggar prinsip etika perubatan serta kemanusiaan,” katanya mereka.
Artikel oleh: Sinar Harian