Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengalu-alukan langkah kerajaan menghapuskan penjarakan sosial bagi jemaah di Masjid dan Surau seluruh negara.
Pengumuman Perdana Menteri itu mengembalikan sedikit suasana ceria di masjid dan surau terutama menjelang Ramadan pada April akan datang.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas keprihatinan tersebut.
“Walau bagaimanapun, tidak ada kenyataan atau arahan yang jelas berkenaan syarat keperluan vaksin Covid-19 atau suntikan tambahan vaksin sebagai syarat kebenaran memasuki masjid dan surau,” jelasnya.
Tambah Nadzim lagi, selain kelonggaran penjarakan fizikal, kerajaan turut melonggarkan syarat wajib menggunakan aplikasi MySejahtera di tempat terbuka awam kecuali yang menjadi tumpuan orang ramai.
PPIM mencadangkan AJK Masjid dan Surau serta Jabatan Agama Negeri-Negeri mengambil kira kelonggaran ini sebelum menetapkan syarat yang tidak masuk akal.
“Permudahkanlah urusan umat Islam mahu menunaikan solat, jika takut sangat dengan virus Covid-19 itu, mungkin AJK Masjid dan Surau boleh sediakan laluan dan ruang solat yang berasingan untuk mereka yang tidak lengkap vaksin,” katanya.
Nadzim turut menegur sikap segelintir pemilik premis yang masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) lama dengan alasan ia adalah arahan pihak pengurusan.
Baru – baru ini tular di media sosial, seorang pelanggan IKEA di Cheras mendakwa dihalang masuk ke surau oleh pekerja gudang perabot dan hiasan rumah itu.
“Menurut pengadu, pekerja IKEA tidak pedulikan waktu solat pelanggan dan tidak mengendahkan rayuan pelanggan yang mahu menunaikan solat yang kurang 15 minit sahaja walaupun mereka sudah beratur lebih satu jam,” katanya.
Kepada pengguna beragama Islam, eloklah kita mengelakkan pergi ke premis seperti ini. Banyak lagi perniagaan yang menawarkan produk sepertimana IKEA di sekitar Lembah Klang dan seluruh negara.
“Mereka tak hargai pelanggan beragama Islam, eloklah kita hentikan berurusan dengan mereka,” katanya.