Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengucapkan terima kasih dan bangga dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan pindaan Akta 342 tidak akan diteruskan di Parlimen.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menyifatkan langkah itu sebagai bukti komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri kini benar-benar mengutamakan rakyat.
“Saya amat berterima kasih kepada beliau dan mendoakan kesejahteraan beliau atas usaha yang telah dilakukan ini,” katanya.
Nadzim turut memuji langkah kerajaan yang membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Sebelum ini, PPIM mengumumkan persatuan itu dan lebih sembilan juta orang penyokongnya akan menyokong mana-mana ahli parlimen yang menentang pindaan Akta 342.
“Pindaan Akta 342 adalah akta yang zalim dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, sesiapa yang menzalimi rakyat kami akan pastikan mereka tidak lagi kembali menjadi pemimpin di negara ini,” katanya sebelum ini.
Nadzim menegaskan PPIM menentang sepenuhnya usaha beberapa pihak yang mahu membenarkan pihak luar menentukan hala tuju pentadbiran negara khususnya dalam bidang kesihatan awam.
“Mengapa perlu kita membiarkan orang asing menentukan apa yang terbaik untuk negara sedangkan di Malaysia kita mempunyai ramai pakar dari pelbagai kepakaran yang boleh memberi nasihat dan cadangan kepada kerajaan mengenai kesihatan awam khususnya dalam isu menangani pandemik COVID-19,” katanya.
Nadzim berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan terus mempertahankan kedaulatan negara dan menolak campur tangan pihak luar dalam urusan tadbir urus negara ini.