Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
BAHAN KOSMETIK ADA BABI: JAKIM DIGESA NASIHATI PENGGUNA TIKTOK – HARIAN METRO – 08/04/2022
09 Apr 2022

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi nasihat dan bimbingan kepada seorang pengguna TikTok kerana menghasilkan bahan mengelirukan.

Ia membabitkan dakwaan bahawa kosmetik yang dihasilkan menggunakan bahan mengandungi babi boleh digunakan dan hanya haram dimakan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, mana-mana pemilik akaun media sosial atau pempengaruh tidak sepatutnya tampil dengan kandungan mengelirukan dan seolah-olah cuba mengeluarkan hukum sendiri.

Katanya, dengan memberikan interpretasi baharu, ia akan menimbulkan kekeliruan terutama kepada mereka yang tidak merujuk terlebih dulu kepada pihak berwajib mengenai hukum halal sesuatu produk.

“Janganlah beri interpretasi baharu, keluarkan hukum dan sebagainya. Saya terima aduan mengenai ada Tik Tok yang bercakap mengenai boleh menggunakan bahan mengandungi babi untuk tujuan rawatan dan kebaikan.

“Jika tidak diperjelaskan, selepas ini ada pula yang guna najis dan bahan terlarang lain tetapi memberi alasan untuk kebaikan.

“Sudah-sudahlah Islam ini dipersenda. Janganlah kerana ingin melariskan produk, ada yang mendakwa macam-macam,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam Tik Tok berdurasi 50 saat itu, seorang wanita tampil dengan pendedahan mengenai penggunaan babi dibolehkan di dalam penghasilan produk untuk merawat wajah.

Ia dimuat naik sejak empat hari lalu dan mendapat 13,000 tontonan dan lebih 800 komen.

Pemerhatian wartawan mendapati, rata-rata netizen meminta penjelasan mengenai status halal bagi proses rawatan kulit menggunakan bahan tidak halal sedangkan ia mempunyai alternatif lain.

Artikel oleh: Harian Metro

BAHAN KOSMETIK ADA BABI: JAKIM DIGESA NASIHATI PENGGUNA TIKTOK

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/04/829882/bahan-kosmetik-ada-babi-jakim-digesa-nasihati-pengguna-tiktok