Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengajak orang ramai beribadah dan meningkatkan amal sepanjang bulan Ramadan.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata semoga segala kebaikan dan kerja amal yang dijalankan akan berterusan selepas Ramadan berlalu.
Bagaimanapun, tular di media sosial pembaziran berlaku dalam keghairahan orang ramai menghulurkan sedekah khususnya kepada warga gelandangan di Ibu Kota.
“Amat menyedihkan melihat longgokkan makanan di bahu jalan terbiar begitu sahaja dan bayangkan jika dana yang digunakan untuk membeli, memasak makanan itu diberikan kepada pihak sepatutnya dan bantuan sampai kepada penerima selayaknya,” katanya.
PPIM menyeru orang awam untuk menghubungi mana-mana badan kebajikan sebelum menghulurkan bantuan bagi mendapatkan maklumat sebenar situasi di kawasan mereka.
“Lebih baik jika mereka mengamanahkan kepada yang lebih arif dalam agihan bantuan daripada ia dibiarkan rosak, basi dan terbiar sebegitu, situasi ini amat menyedihkan,” katanya.
PPIM melalui Unit Kebajikan PPIM turut menjalankan aktiviti bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan.
“Kami mendapatkan maklumat dari pemohon secara terus dan menyampaikan bantuan mengikut keperluan mereka, kami juga bekerjasama dengan beberapa badan NGO lain bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan semua rakyat yang memerlukan boleh dibantu,” katanya.
Sehubungan itu, Nadzim mengingatkan orang ramai jangan terlalu mementingkan diri dalam menjalankan kerja amal, sebaliknya kerjasama semua pihak amat penting.
Bagi mereka yang ingin bersama PPIM menyampaikan sumbangan boleh layari laman web ppim.org.my dan sumbangan.com atau hubungi Unit Kebajikan PPIM di +0123578663 (Pn Siti Khadijah).