Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak mahu mana-mana pihak cuba mengganggu keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini dengan apa cara sekalipun.
Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan @ Toqqi berkata tindakan seorang penulis yang memetik hadis tanpa memeriksa kesahihan dan kebenarannya adalah tindakan tidak bijak dan tidak seharusnya berlaku di negara ini.
Menurut Nadzim, sebagai seorang yang mungkin mempunyai pengikut dan penyokong, Uthaya Sankar seharusnya sedar dan lebih peka berkenaan perkara ini.
“Benar beliau ada hak bersuara namun bersuaralah dengan apa yang beliau yakin, pasti dan amalkan, beliau tidak mengamalkan agama Islam, apakah niatnya menulis kenyataan sebegitu yang saya yakin beliau tahu sangat sensitif dalam kalangan orang Islam di negara ini,” katanya.
Nadzim berkata jika benar Uthaya mahu berdebatkan perkara itu, beliau boleh berbuat demikian dengan ilmuwan Islam dan di ruang yang lebih sesuai.
“Membuat kenyataan berkaitan agama dan Nabi Muhammad SAW, tanpa ada provokasi dari sesiapa atau mana-aman pihak seolah-olah Uthaya sengaja mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama,” katanya.
Toqqi turut mengajak Uthaya untuk berdebat dengan Dr Zakir Naik atau manamana ilmuwan Islam untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang dibangkitnya.
“Bulan yang baik, kita umat Islam sedang kejar membuat amal, tak perlulah perkara – perkara yang menaikkan kemarahan dan mencetus perbalahan, adakah beliau terlalu bosan dan memang sengaja mahu mencetus pergaduhan?” kata Nadzim.
Nadzim sebelum itu diminta mengulas kejadian seorang penulis dipercayai Uthaya, ditahan selepas dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Facebook.
Artikel oleh: Samudera.my
ISU HINA NABI: UTHAYA, SILA DEBAT DENGAN DR ZAKIR NAIK – TOQQI PPIM