PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta mendedahkan kepada umum hasil dan metodologi siasatan yang dilaksanakan selepas mengesahkan Thomas Foods Industries di Australia mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan yang ditetapkan pihak berkuasa Australia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4 Center) berkata, Jakim turut mengesahkan Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra yang menjalankan audit berkala ke atas rumah penyembelihan itu pada 2 Mac lalu mendapati ia mematuhi peraturan ditetapkan.
Ia susulan pendedahan akhbar ini berhubung ‘Rumah Sembelih di Australia bekal 45 peratus daging ke Malaysia tidak ikut syariat Islam – Status halal meragukan’ dengan memetik pendedahan oleh Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor dan penyelidik bebas warganegara berkenaan, Murray Hunter.
Dalam hal itu, C4 Center menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk terus menjalankan siasatan bebas dan terbuka terhadap isu ini yang turut berkait dengan kartel daging serta menyediakan laporan telus tentang kemajuan siasatan sebagaimana pernah didedahkan dua tahun lalu.
“C4 Center menyeru Jakim untuk mendedahkan kepada umum hasil dan metodologi siasatan mereka demi ketelusan dan penelitian awam.
“Integriti dan ketelusan agensi kerajaan mesti dipastikan, terutama apabila ia melibatkan perkara yang terikat dengan akidah dan kerohanian ramai rakyat Malaysia,” katanya di sini semalam.
Khamis lalu, Utusan Malaysia mendedahkan, terdapat rumah penyembelihan kambing biri-biri di Australia yang mendapat pengiktirafan Malaysia dan Singapura, didapati melanggar protokol sembelihan halal.
Menurut laporan yang disokong saksi, kambing biri-biri dilemaskan dalam darah yang terkumpul daripada haiwan yang disembelih sebelumnya dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.
Susulan itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan Sabtu lalu memberitahu, pihaknya akan membongkar lebih banyak isu daging import yang diragui status halalnya.
Dalam pada itu, C4 Center berkata, SPRM sebelum ini telah membuka siasatan berhubung kartel daging dan perkara itu membawa pertuduhan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Pada Mei tahun lalu, empat penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pemilik syarikat logistik telah didakwa di Johor Bahru.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut mengenai penyiasatan seterusnya adalah tidak mencukupi.
“Operasi kartel daging didedahkan meluas, mungkin melibatkan ramai pegawai tinggi kerajaan. Penahanan beberapa pegawai mungkin dalam kalangan ‘ikan bilis’ sahaja.
“Siasatan lanjut oleh SPRM adalah perlu untuk membendung operasi kartel daging di akar umbinya.
Kemungkinan operasi kartel daging rentas sempadan melibatkan dakwaan rasuah agensi negara lain juga memerlukan siasatan lanjut dan SPRM mesti menjelaskan jika bidang kuasa lain mengambil bahagian dalam siasatan ini,” katanya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
STATUS HALAL: DEDAH LAPORAN SIASATAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/status-halal-dedah-laporan-siasatan/