Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PERUBAHAN MEKANISME BANTUAN KEWANGAN HAJI TINDAKAN TEPAT – PENGANALISIS – BERITA HARIAN – 23/04/2022
25 Apr 2022

KUALA LUMPUR: Perubahan mekanisme membabitkan bantuan kewangan haji yang pertama kali dilaksanakan secara bersasar seperti diumumkan semalam, dilihat tindakan tepat dan wajar diteruskan Lembaga Tabung Haji (TH) pada musim akan datang.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa bantuan berkenaan akan sentiasa berubah mengikut situasi kewangan TH.

“Melalui pendekatan ini, maka pendeposit haji perlu sedar mereka tidak harus bergantung semata-mata kepada bantuan, tetapi meneruskan usaha menabung sehingga mencukupi untuk menampung kos penuh menunaikan haji.

“Kemungkinan TH mengambil ketetapan meneruskan bantuan kewangan haji walaupun peratusannya sedikit rendah daripada sebelum ini kerana pelbagai faktor, antaranya TH masih mempunyai kemampuan kewangan untuk berikan bantuan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin mengumumkan bayaran haji dikenakan TH kepada bakal jemaah tahun ini, dinaikkan secara bersasar sebanyak RM1,000 dan RM3,000 seorang, tertakluk kepada kategori pendapatan masing-masing.

Katanya lagi, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji tahun ini (1443H/2022M) dan memperkenalkan pendekatan secara bersasar bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya golongan paling memerlukan.

Bayaran haji untuk jemaah Muassasah bagi golongan B40 dikenakan sebanyak RM10,980, iaitu peningkatan hanya RM1,000 seorang, manakala jemaah Muassasah dalam kategori bukan B40 ialah sebanyak RM12,980 seorang, peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun.

Ahmed Razman berkata, mengikut pemerhatiannya, keputusan untuk turut memberikan kemudahan bantuan kewangan kepada golongan selain B40 mungkin disebabkan TH tidak mahu pendeposit gusar dan marah sekiranya keputusan drastik dibuat.

Selain itu, katanya, antara faktor lain yang mungkin mempengaruhi pemberian bantuan kewangan berkenaan, disebabkan kuota jemaah haji yang dibenar mengerjakan ibadat itu adalah rendah disebabkan situasi pandemik COVID-19, iaitu sekitar 14,306 orang berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyambut baik langkah berkenaan yang disifatkan sebagai lebih berfokus khususnya untuk membantu pendeposit yang benar-benar memerlukan.

“Eloklah pendekatan ini dibuat dan ia juga antara tujuan kita mencarum iaitu untuk membantu pendeposit yang sepatutnya dibantu. Bagaimanapun, jika ada golongan tertentu misalnya M40 yang senasib dengan B40, saya sarankan TH supaya berilah bantuan pada kadar yang sama seperti B40,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pendeposit yang tidak berkemampuan untuk bersabar dan sebaiknya menunggu sehingga tabungan mencukupi kerana bagi yang tidak mampu, hukum menunaikan ibadat haji adalah tidak wajib.

“Jadi bersabarlah dan tunggu giliran yang tepat masa akan datang. Namun, TH juga boleh berikan kemudahan misalnya pertimbang supaya individu ini diberi keistimewaan tertentu (kurangkan bayaran) untuk pergi menunaikan ibadat haji,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sebelum ini mencadangkan subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang membuat permohonan, hairan mengapa TH tidak melaksanakan pendekatan sedemikian.

“Agak pelik apabila TH terus memberikan bantuan kewangan haji kepada semua, termasuk pendeposit yang kaya, ada kemampuan dan terang-terangan tidak layak. Ini masalah kita, dari dulu lagi amalkan pemberian subsidi kepada semua, sehingga orang yang tak memerlukannya pun dapat manfaat,” katanya.

Tegasnya, pendekatan bantuan kewangan sedemikian tidak lagi relevan dengan keadaan kewangan semasa TH, ditambah dengan kemungkinan kos mengerjakan haji akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

“Seperti saya tegaskan, berilah pilihan kepada pendeposit, jangan jadikan bantuan ini mandatori. Dasar sebegini bagus kalau TH ada duit yang banyak, dalam keadaan ekonomi sekarang, lebih baik tumpu kepada yang memerlukan sahaja.

“Misalnya, dengan kenal pasti pendeposit yang benar-benar layak, maka golongan dalam kategori B40 mungkin tidak perlu dikenakan bayaran tambahan langsung mengambil kira pendapatan dan kemampuan mereka,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PERUBAHAN MEKANISME BANTUAN KEWANGAN HAJI TINDAKAN TEPAT – PENGANALISIS

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948802/perubahan-mekanisme-bantuan-kewangan-haji-tindakan-tepat-penganalisis